PENYERANG sensasi Belgium, Romelu Lukaku melakar sejarah tersendiri apabila menjaringkan gol ke-100 ketika berdepan Republik Czech, pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022, Zon Eropah pada Isnin.
Lukaku menjaringkan gol berkenaan pada minit ke-8, pada perlawanan berkenaan yang juga dilihat telah menyuntik semangat buat skuad The Red Devils itu untuk beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan.
Mengulas lanjut, pengendali Belgium, Roberto Martinez berkata, gol yang dijaringkan Lukaku itu secara keseluruhannya telah membuka ruang kepada pemain-pemain lain untuk beraksi cemerlang dengan mengatur asakan ke gawang lawan.
Malah katanya, hasil kesemua asakan berkenaan, skuad kendaliannya itu berjaya menambahkan lagi dua gol hasil jaringan Eden Hazard pada minit ke-41 dan Alexis Saelemaekers (min-65).
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kemenangan ini terutamanya dengan aksi yang dipamerkan pemain.
“Mereka ternyata telah mematuhi setiap percaturan taktikal yang telah diterapkan pada sesi latihan bagi menjamin kemenangan kali ini.
“Bagaimanapun, saya berharap agar mereka juga dapat bersedia untuk mengharungi perlawanan seterusnya berdepan Belarus, Khamis ini,” katanya.
Sementara itu, Martinez mahu skuad kendaliannya itu untuk memberikan fokus ketika berdepan Belarus pada Khamis dalam usaha mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan E bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2022, zon Eropah.
Menurut Martinez, Belarus telah menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini biarpun tewas 2-3 kepada Wales pada Isnin.
“Pemain juga diingatkan agar tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah pada perlawanan berkenaan kerana ia mampu mengundang padah.
“Selain itu, saya mahu pemain saya berikan fokus sepenuhnya untuk berdepan Belarus yang telah memberikan tentangan sengit sebelum tewas 2-3 kepada Wales hari ini,(Isnin),” katanya.




