Negara perlu segera bangunkan lebih ramai bakat teknologi

Keperluan kepada transformasi digital menuntut negara menghasilkan lebih ramai bakat teknologi bagi menampung permintaan.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass, menyatakan kebanyakan organisasi berebut memiliki sumber serta teknologi tepat bagi membolehkan pekerja mereka terus beroperasi daripada jauh dengan masa singkat untuk memindahkan operasi dari pejabat ke rumah.

Ini kemudian dibuktikan tinjauan IBM Institute for Business Value (IBV) bahawa 60 peratus responden terdiri daripada eksekutif menunjukkan mereka mempercepatkan transformasi digital perniagaan di tengah pandemik COVID-19.

Tinjauan IBV dikenali Digital Acceleration Study juga mengesahkan teknologi yang memberikan kesan prestasi paling hebat terhadap kejayaan di seluruh industri iaitu mudah alih, kecerdasan buatan (AI) dan awan (cloud).

Ini berita yang memberi inspirasi kepada negara tentang bagaimana COVID-19 menghadirkan cabaran kepada syarikat, tetapi pada masa sama memberi peluang untuk mempercepatkan transformasi digital sebagai satu-satunya jalan keluar daripada belenggu wabak.

Namun, suatu yang baik untuk dipelajari apabila penggunaan digital dalam kalangan syarikat dilihat lebih rendah ketika sebelum COVID-19 berbanding sekarang.

Masalahnya, kebanyakan syarikat masih berusaha mencari bakat tepat yang dapat memanfaatkan teknologi dengan berkesan, seterusnya membantu proses transformasi digital mereka.

Ini menggambarkan betapa pentingnya memiliki bakat teknologi yang boleh dipercayai bagi memastikan kejayaan transformasi digital.

Ia dapat dinyatakan dengan mudah, di mana perniagaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada peralihan ke arah ekonomi digital, bakat teknologi hebat juga perlu ada untuk menyempurnakan usaha itu.

Pembangunan bakat teknologi juga mendorong kemajuan transformasi digital negara atau bahkan merealisasikan Malaysia 5.0.

Dari segi pekerjaan, Randstad Malaysia menjangkakan lebih banyak peluang terbuka kepada bakat tempatan. Mungkin seperti sambil menyelam minum air, ia dapat menghasilkan lebih ramai tenaga kerja tempatan untuk memenuhi permintaan bakat teknologi yang tinggi dan mengurangkan kadar pengangguran.

Namun, kerajaan harus melakukan lebih banyak usaha dalam pembangunan bakat teknologi di Malaysia melalui kerjasama hebat dengan pelbagai industri untuk kesan yang pantas dan menyeluruh.

Sebagai contoh, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan program pembangunan bakat teknologi yang menjadi antara teras strategi penting yang akan menjadi dasar strategi digital nasional.

Industri teknologi maklumat (IT) juga memainkan peranan penting memperbesar usaha MDEC melatih lebih ramai bakat teknologi dengan berkesan.

Kerajaan pula bertanggungjawab memastikan latihan dan kursus diberikan kepada tenaga kerja tempatan memberi pendedahan berharga serta kemahiran relevan dalam menjayakan inisiatif ini.

Selain itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tidak diragukan menjadi idea bernas dalam menyediakan beberapa inisiatif meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan demi memenuhi permintaan meningkat untuk bakat teknologi.

Bagaimanapun, ia akan memakan masa lama untuk berjaya, mungkin sekitar beberapa tahun. Oleh itu, lebih banyak peningkatan diperlukan supaya pembangunan bakat teknologi akan lebih pantas dan berkesan untuk membantu perniagaan bertahan sepanjang krisis sedang berlangsung.

Ini dapat didatangi dengan pelbagai bentuk latihan pekerjaan mantap dengan kerjasama syarikat dan pusat latihan masing-masing.

Memandangkan 2021 baru saja bermula, orang ramai akan terus memerhatikan bagaimana teknologi baharu muncul seperti fintech, AI dan internet kebendaan (IoT) akan memberi kesan positif kepada negara sepanjang tahun.

Ia hanyalah soal persiapan negara untuk menghadapi transformasi digital yang besar. Dalam kes ini, faktor paling menonjol adalah penyediaan bakat teknologi yang mencukupi bagi menampung permintaan tinggi ini.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga harus bersiap sedia sepenuhnya untuk infrastruktur digital lebih baik bagi menyesuaikan diri dengan norma baharu tahun ini kerana kesan berterusan COVID-19 terhadap negara akan meningkatkan kepantasan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan.

Penulis adalah Pembantu Penyelidik di EMIR Research

Sumber: Berita Harian

Malay News
Social Media Updates

 

Scroll to Top