Adun Permatang Pasir nafi mencabul

Kuala Lumpur: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil menafikan dakwaan mencabul seorang pembantu kedai wanita pada 8 Mac lalu.

Beliau dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan sudah dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung laporan itu.

“Saya mengesahkan dipanggil untuk siasatan polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan ke atas saya.

“Saya memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan pendedahan lanjut berikutan siasatan masih berjalan.

Menurutnya, beliau sedang berbincang bersama pasukan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

“Saya akan meneruskan tugas sebagai Adun seperti biasa dan berjuang untuk menegakkan demokrasi serta keadilan sosial,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, polis menerima laporan kejadian dibuat seorang wanita berusia 31 tahun pada 16 Mac lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa mendapat gangguan seksual daripada suspek ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini, jam 8.40 malam.

Menurutnya, semasa berada di dalam kereta untuk keluar makan, suspek bertindak meraba, menarik bahu dan memegang tangan mangsa menyebabkan wanita itu menolak.

Berikutan kejadian itu, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Adun didakwa cabul pembantu kedai wanita

Leave a Comment