AFCON 2021: Cameroon bergelut jinakkan Burkina Faso

KAPTEN Cameroon, Vincent Aboubakar menjaringkan dua gol ketika tuan rumah bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Burkina Faso dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 di Yaounde.

Gustavo Sangare sebelum itu meletakkan The Stallions di depan pada minit ke-24 dalam perlawanan di Stadium Olembe, namun Aboubakar menyamakan kedudukan untuk The Indomitable Lions lima minit sebelum rehat selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Pemain berusia 29 tahun itu, yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara 2017 menentang Mesir, kemudian meledak gol penentu pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Tiga mata ini adalah permulaan yang sempurna untuk Indomitable Lions dalam misi memenangi kejuaraan benua keenam di bumi Cameroon.

Dalam pada itu, Covid-19 menyaksikan penganjur mengehadkan orang ramai di Stadium Olembe kepada 80 peratus daripada 60,000 kapasitinya, namun peraturan itu tidak merosakkan pesta tuan rumah diiringi kemeriahan bunga api.

Untuk rekod, perlawanan dan majlis perasmian itu dihadiri Presiden Cameroon, Paul Biya berusia 88 tahun, yang mentadbirurus negara Afrika Tengah selama 40 tahun, serta Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino dan supremo Konfederasi Bola Sepak Afrika, Patrice Motsepe.

Burkina Faso sebelum perlawanan menerima tamparan apabila jurulatih Kamou Malo dan beberapa pemain positif Covid-19, meninggalkan penolong jurulatih Firmin Sanou mengendalikan The Stallions.

KEPUTUSAN

Cameroon 2-1 Burkina Faso

Ethiopia 0-1 Cape Verde