kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Agrobank memperuntukkan biasiswa berjumlah RM250,000 kepada enam pelajar cemerlang menerusi Scholarship Award Programme (SAP) 2025, sebagai sebahagian usaha berterusan membangunkan bakat muda bagi menyokong sektor kewangan pembangunan dan pembiayaan pertanian negara.
Pada masa sama, bank itu turut meraikan 15 graduan Young Talent Programme (YTP) Sesi 2023 yang berjaya menamatkan program pembangunan bakat berstruktur selama dua tahun sebelum diserap ke jawatan tetap di Agrobank.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelaksanaan YTP dan SAP mencerminkan pendekatan menyeluruh Agrobank dalam membangunkan modal insan, bermula daripada sokongan akademik sehingga kepada peluang kerjaya di dalam bank.
Katanya, pembangunan modal insan adalah pelaburan jangka panjang yang penting bagi memastikan Agrobank terus memiliki barisan bakat berkualiti untuk menyokong mandat pembangunan sektor pertanian negara.
“Melalui YTP dan SAP, kita bukan sahaja menyediakan peluang kepada bakat muda untuk berkembang, malah membina barisan pelapis yang memahami mandat pembangunan Agrobank, keperluan pelanggan serta peranan bank dalam menyokong ekosistem pertanian negara,” katanya dalam kenyataan.
Bagi SAP 2025, enam penerima yang sedang melanjutkan pengajian di universiti tempatan menerima biasiswa meliputi bidang kewangan, kewangan Islam, ekonomi perniagaan, pengurusan operasi, sains aktuari dan komunikasi antarabangsa.
Lebih bermakna, sebahagian penerima biasiswa itu terdiri daripada pelajar daripada keluarga petani dan nelayan yang dikenal pasti melalui kerjasama strategik bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
Menurut Tengku Ahmad, kerjasama itu membolehkan Agrobank mengenal pasti pelajar berpotensi tinggi daripada komuniti pertanian dan perikanan bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan tinggi.
Beliau berkata, kesemua 15 graduan YTP Batch 2023 pula berjaya menamatkan program pembangunan selama dua tahun dan kini diserap sebagai kakitangan tetap Agrobank, sekali gus membuktikan keyakinan bank terhadap keupayaan mereka menyumbang kepada pertumbuhan organisasi.
Katanya, YTP dibangunkan sebagai platform strategik bagi melahirkan graduan berpotensi tinggi melalui pendedahan dalam operasi cawangan, perbankan pengguna, pembiayaan mikro, fungsi sokongan serta perbankan komersial dan korporat.
Program itu turut merangkumi sesi bimbingan, latihan kemahiran insaniah, pembangunan kepimpinan, pembabitan dalam projek khas serta aktiviti tanggungjawab sosial korporat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




