Dua beradik disergah pemilik kebun ketika cuba curi kelapa sawit

Dua beradik disergah pemilik kebun ketika cuba curi kelapa sawit

mdroji@bh.com.my

Kuching: Cubaan dua beradik mencuri buah kelapa sawit gagal apabila disergah pemilik kebun di Kampung Sepadah, Bau, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kedua-dua suspek dikesan sedang menolak kereta sorong berisi tiga tandan buah sawit menuju ke arah Jalan Pan Borneo.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A.Rahman berkata, pemilik kebun yang berada di rumahnya di Kampung Stenggang, Bau, menyedari pencerobohan itu selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon bimbit.

Beliau berkata, pemilik kebun bersama ayah, abang dan rakannya kemudian ke lokasi untuk memeriksa keadaan di kebun berkenaan.

“Kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran mereka bertindak melarikan diri ke dalam kebun dengan meninggalkan beberapa barangan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu, termasuk motosikal.

“Bagaimanapun, pemilik kebun tidak mengalami sebarang kerugian kerana suspek belum sempat membawa keluar hasil sawit yang cuba dicuri,” katanya.

Mohd Haide berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau yang menerima laporan berhubung kejadian itu kemudian menjejaki kedua-dua suspek.

Beliau berkata, polis menahan dua beradik berusia 30 dan 31 tahun itu di rumah mereka di kampung yang sama dengan pengadu.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku pergi ke kebun berkenaan dengan menaiki motosikal untuk mencuri buah sawit.

“Mereka turut mengaku melarikan diri selepas disergah sebelum pulang ke rumah dengan berjalan dan meninggalkan motosikal di tepi jalan di kebun sawit itu,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bau untuk permohonan reman bagi membantu siasatan, selain menjalani ujian saringan air kencing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top