Ahli Lembaga Pengarah bantu bayar tunggakan gaji KL City

Ahli Lembaga Pengarah bantu bayar tunggakan gaji KL City

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain Kuala Lumpur (KL) City kini boleh menarik lega seketika apabila Ahli Lembaga Pengarah mula mengambil langkah proaktif untuk membayar gaji tertunggak sekali gus memastikan ia dapat selesaikan dengan baik.

Menerusi kenyataan rasmi Ahli Lembaga Pengarah itu hari ini, selepas mesyuarat semalam, mereka bersetuju bersama bekerjasama dalam soal berkenaan dan berharap KL City dapat meneruskan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.

Jelasnya, meskipun skuad Warga Kota menghadapi pelbagai rintangan serta kontroversi tetapi kelab berjaya mengatasi cabaran itu dengan sebaik mungkin.

“Proses pembayaran gaji sedang giat dilaksanakan serta pembayaran kepada badan berkanun. Ahli Lembaga Pengarah sentiasa bersatu padu untuk maju ke hadapan dan akan berdiri teguh di belakang kelab bagi memastikan Kuala Lumpur City FC meneruskan permulaan cemerlang musim ini, mengatasi segala kemungkinan dan terus menghasilkan keputusan yang baik.

“Kuala Lumpur City FC kelab yang mampu menangani cabaran dan rintangan serta situasi sukar dengan berkesan. Ini menunjukkan kemampuan kelab untuk mengatasi halangan dan mencapai kejayaan cemerlang kerana kesatuan dalaman yang kukuh serta semangat berpasukan,” katanya.

Selain itu, tiga penampilan di perlawanan akhir melalui tiga pertandingan berbeza dalam tempoh tiga musim terakhir ini membuktikan KL City berada di landasan betul dalam membina pasukan yang baik dan mampu memberi saingan.

Dalam kesempatan itu, Ahli Lembaga Pengarah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang kelab dan memberi sokongan dalam waktu yang mencabar ini.

“Kami amat berharap agar ‘City Boys’ dan ‘City Girls’ akan hadir beramai-ramai di dua perlawanan di halaman sendiri menentang Sri Pahang (esok malam) dan Sabah pada 31 Julai ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top