Ahli PAS wajib fahami dan hayati rukun baiah

Ahli PAS wajib fahami dan hayati rukun baiah

TELUK INTAN: Mengulangkaji dan memperkukuh kefahaman mengenai konsep arkanul baiah bagi melahirkan diri yang ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan mestilah menjadi rutin setiap ahli-ahli PAS.

Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman menitipkan pesanan demikian ketika menyampaikan taujihat sebagai naqib jemputan dalam Liqa’ Fikri bulanan PAS Kawasan Teluk Intan, kelmarin. 

Advertisement

Katanya, percanggahan pendapat dalam kalangan ahli dan kurangnya ketaatan kepada pemimpin berpunca daripada mereka yang masih belum memahami secara mendalam konsep faham dan taat yang terkandung dalam rukun baiah.

“Kegagalan memahami konsep thiqah, meyakini keilmuan, kredibiliti dan ketokohan pimpinan dalam mengambil keputusan terhadap hala tuju jemaah mengakibatkan sebilangan ahli gemar mempertikai keputusan pimpinan hingga berlaku perpecahan dalaman.

“Kerana itu, amat wajar Lajnah Tarbiyah PAS Pusat menyusun semula silibus usrah dengan menekankan pengulangan teks kepada peringkat ta’arif (dan) mengupas kembali rukun baiah.

“Ini bagi tujuan pembaharuan azam (tajdidul ‘azam) dan meningkatkan kefahaman (tajdidul fahmu) ahli PAS terhadap hala tuju perjuangan jemaah Islam ini,” ujar beliau lagi.

Mengupas konsep ukhuwah, Ustaz Faisal menekankan perlunya setiap ahli PAS mencarum dalam SkimPAS kerana anjuran Lajnah Kebajikan PAS Pusat ini bertujuan mengumpul dana untuk menjaga kebajikan ahli PAS di semua peringkat.

Kesempatan itu, beliau juga menyeru semua ahli PAS agar menyumbang serendah RM10 melalui Tabung Infak Istiqamah bagi mengumpul dana bagi kelancaran gerak kerja PAS di peringkat Kawasan, Negeri dan Pusat.

“Melalui Tabung Infak Istiqamah, (inilah) cara (yang) paling praktikal untuk ahli merealisasikan konsep at-tadhiyahiaitu berkorban demi kelangsungan gerak kerja Islam,” ucapnya. 

Liqa’ Fikri yang dilaksanakan secara maya kali ini disertai seramai hampir 90 ahli dari semua pimpinan Dewan-dewan dan ahli PAS Cawangan-cawangan PAS Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 17/12/2021

Scroll to Top