Ahmad Idham kecewa anak istimewa jadi bahan jenaka

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Dr. Ahmad Idham kecewa gara-gara jenaka kumpulan lawak, UBI yang didakwa memperlekehkan anak istimewa ketika persembahan pentas akhir, Muzikal Lawak Superstar (MSL) 3 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagramnya, dia kelihatan kecewa dengan tindakan kumpulan berkenaan yang dipercayai meniru watak influencer, Yoe Parey yang didiagnos mempunyai masalah pembelajaran.

“Baru-baru ini tular di media sosial sebuah rancangan komedi menampilkan satu kumpulan melakonkan watak seorang anak istimewa, Yoe Parey yang telah didiagnos masalah pembelajaran.

“Saya melihat budaya menjadikan watak anak istimewa sebagai bahan lawak sudah dinormalisasi dalam kalangan masyarakat kita.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menegur sebagai tanda kasih dan sayang saya kepada adik-adik di dalam industri hiburan,” coretnya.

Pengarah yang berusia 48 tahun itu dapat merasakan perkara tersebut tidak wajar dijadikan sebagai bahan jenaka yang akan mengguriskan hati ibu bapa yang mempunyai anak syurga.

Bukan itu sahaja, dia mendedahkan keluhan itu dimaklumkan sendiri oleh ibu bapa kepadanya ketika mengikuti program dan jelajah dibawah Hab Pendidikan Khas.

“Jauh di sudut hati ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa terbuku sedikit rasa kecewa apabila kekurangan anak-anak istimewa dijadikan bahan lawak untuk mentertawakan orang.

“Saya mendapat keluhan ini secara terus daripada ibu bapa ketika mengadakan program dan jelajah dibawah Hab Pendidikan Khas saya.

Ujarnya, dia berharap perkara tersebut tidak berlaku pada masa akan datang kerana ia mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak muda untuk melakukan perkara yang sama.

“Harapan saya agar kita tidak terus membudayakan perkara-perkara sebegini kerana ianya akan mempengaruhi anak-anak muda untuk turut sama melakukan perkara yang sama,” katanya lagi.

Sementera itu, Ahmad Idham adalah seorang yang memperjuangkan hak anak-anak istimewa dan mempunyai sebuah Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus bersempena anak sulungnya yang juga merupakan anak istimewa. – MalaysiaGazette