Air naik, keruh dan arus deras sukarkan operasi kesan mangsa bot karam

Air naik, keruh dan arus deras sukarkan operasi kesan mangsa bot karam

KAPIT – Paras air naik, keruh dan arus deras hari ini menjadi cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan empat mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh, di sini petang semalam.

Ketua Bomba Zon Sibu, Andy Alie berkata, kayu dan sampah sarap yang hanyut turut mengehadkan penglihatan di dalam air pada jarak hanya satu meter sahaja.

Beliau berkata bagaimanapun, kesabaran dan pengalaman luas yang dimiliki anggota pasukan SAR membolehkan operasi dijalankan tanpa kejadian tidak diingini.

“Begitupun, operasi hari kedua hari ini masih gagal menemukan mangsa termasuk dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit iaitu Sarjan Jonathan Lambet daripada cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim daripada cawangan Persenjataan,” katanya.

Kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dengan 1050rds bahan peledak,  dilaporkan untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Dua lagi mangsa ialah orang awam yang masih hilang ialah Amerson John Nain, 47, dan Jack Balan, 45, manakala seorang lagi orang awam, Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan orang ramai semalam.

Scroll to Top