Air Tasik Bukit Merah meningkat

Air Tasik Bukit Merah meningkat

BAGAN SERAI: Air Empangan Tasik Bukit Merah di sini yang kering sebelum ini mulai meningkat mengatasi paras kritikal berikutan hujan lebat di kawasan tadahan itu.

Hujan lebat sehari selepas penduduk mengadakan solat sunat hajat dan istisqa di kawasan tasik itu semalam.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, paras air Tasik Bukit Merah menunjukkan peningkatan selepas hujan di beberapa tempat di kawasan tadahan itu di sini pagi ini.

“Alhamdulillah, paras air Tasik Bukit Merah menunjukkan sedikit pertambahan berikutan hujan di beberapa tempat kawasan tadahan mulai semalam dan awal pagi ini.

“Paras bacaan air di Tasik Bukit Merah pada pukul 8 pagi ini ialah 6.279 meter atau 20.60 kaki berbanding 6.096 meter atau 20 kaki pada 29 Mei.

“Maknanya, ada penambahan sebanyak 60 inci air di tasik ini dan di atas paras kritikal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di sini semalam Razman berkata, pembenihan awan bagi menurunkan hujan di kawasan takungan di Tasik Bukit Merah akan dilakukan dalam tempoh seminggu lagi.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Bencana Negara (NADMA) akan melihat kesesuaian awan dan tiupan angin bagi melaksanakan pembenihan awan dalam tempoh terdekat.

“Apabila dilakukan pembenihan awan, diharapan hujan dapat turun di kawasan sawah dan kawasan tadahan di Pondok Tanjung dan Ijok,” katanya.

Semalam, kira-kira 200 orang penduduk mengadakan solat hajat dan solat sunat Istisqa di kawasan empangan itu yang diimamkan oleh Ustaz Ibrahim Zakaria untuk memohon hujan.

Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian menghentikan pengairan ke sawah padi di sini pada 27 Mei yang lalu ekoran bacaan air di Tasik Bukit Merah pada tahap kritikal.

Sekiranya tiada hujan dalam tempoh seminggu hingga ke dua minggu, petak sawah padi seluas 12,400 hektar membabitkan 4,720 pesawah di kompatmen D, E, F, G dan H iaitu di Bagan Serai, Semanggol dan Selinsing akan terjejas. –UTUSAN ONLINE

 

Scroll to Top