Ajal langgar tiang elektrik

Ajal langgar tiang elektrik

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar tiang elektrik di hadapan sebuah stesen minyak dekat Serendah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata kejadian berlaku jam 6.38 petang membabitkan motosikal Yamaha Y15.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Antara Gapi ke Rawang.

“Tiba di lokasi, mangsa dipercayai melanggar tiang elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada tengkuk,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Suffian berkata, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd