Manchester: Pertembungan Manchester City dan Inter Milan disifatkan umpama ulangan final Liga Juara-Juara 2022 lalu apabila kedua-dua pasukan kembali bertemu, awal pagi Khamis ini.
Pada aksi dua tahun lalu itu, City berjaya menewaskan Inter 1-0 yang berlangsung di Istanbul untuk meraih gelaran sulung mereka di kancah Liga Juara-Juara.
Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bersemuka dalam saingan Liga Juara-Juara dengan setiap pasukan bakal melalui pengalaman baharu yang menggunakan format berbeza.
Pertahanan City, Manuel Akanji akui tidak menggemari format baharu itu kerana ia membebankan pasukan menerusi jadual perlawanan yang lebih sibuk.
“Ia akan lebih menyulitkan dengan liga. Kamu menentang pasukan berbeza-beza dan kemudian Inter tidak mempunyai lawan sama seperti kami. Ia semakin besar, lebih banyak perlawanan.
“Kemudian kami menyertai Piala Kelab Dunia pada penghujung musim nanti. Ia hanya perlawanan ke satu perlawanan lain dan saya tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam beberapa tahun lagi.
“Ia sangat sukar, kamu tidak memikirkan mengenai musim ini sahaja tetapi juga musim seterusnya. Bila kami akan berehat?. Tidak ada rehat pada musim sejuk,” katanya.
Di sebalik keluhannya, Akanji, 29, berpeluang untuk kembali membuat perhitungan dengan Inter selepas meraih gelaran trebel 15 bulan yang lalu.
“Saya amat menantikannya, walaupun dengan format baharu,” kata Akanji. “Saya fikir yang lama lebih baik tetapi kami tetap akan menentang pasukan terbaik dan bermula dengan perlawanan hebat bertemu Inter.
“Kali terakhir kami bertemu mereka adalah di final, jadi ia adalah satu memori yang bagus buat kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
