Akhlak dakwah: Meskipun terhadap musuh

Akhlak dakwah: Meskipun terhadap musuh

DARIPADA Aisyah rha, beliau bertanya kepada Nabi SAW, adakah di sana suatu hari yang lebih sukar dihadapi oleh Nabi SAW berbanding hari peperangan Uhud?
Jawab Nabi SAW: Sesungguhnya aku telah menemui kaummu dan itulah detik yang paling sukar aku alami iaitu peristiwa hari Aqabah. Apabila aku mengemukakan seruanku kepada Ibn Abdi Yalil ibn Abdi Kulal, ia tidak menyahutnya.
Lalu aku berpaling dengan rasa duka dan aku tidak mengah sehingga aku berada di Qarni Al Tha’alib. Lalu aku angkat kepalaku, tatkala itu awan sedang sedang membayangiku, justeru aku melihat padanya Jibril AS menyeruku.
Kata Jibril AS: Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu terhadap dirimu dan apa yang telah mereka lakukan ke atas dirimu.
Sesungguhnya telah diutus kepadamu malaikat yang menjaga bukit. Supaya engkau mengarahkannya dengan apa sahaja yang engkau mahu untuk bertindak balas ke atas mereka.
Maka malaikat menjaga bukit memanggilku dan mengucap salam ke atasku kemudian ia berkata: Wahai Muhammad, beritahulah demikian apa yang engkau mahu, jika engkau mahu aku hempaskan dua bukit ini ke atas mereka.
Lalu jawab Nabi SAW:  بَلْ أرْجُو أنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِن أصْلابِهِمْ مَن يَعْبُدُ اللَّهَ وحْدَهُ لا يُشْرِكُ به شيئًا.
Jangan! Bahkan aku mengharapkan, akan lahir dari sulbi mereka generasi yang akan mengabdikan diri kepada Allah SWT Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dengan sesuatu apa pun. (Riwayat Imam Bukhari)

Advertisement

Kefahaman hadis

Semua orang tahu bahawa Perang Uhud adalah antara perang yang paling sukar dan getir. Bahkan Nabi SAW mengalami cedera parah sehingga musuh mengambil kesempatan menyebar berita kononnya Muhammad telah terbunuh bagi melemahkan semangat tentera Islam.

Namun berdasarkan hadis ini, apabila Aisyah rha bertanya apakah ada hari yang lebih sukar berbanding hari Uhud, ternyata ada hari yang lebih perit dialami oleh Nabi SAW berbanding hari Uhud.

Setengah riwayat menyebut peristiwa ini berlaku pada Tahun Dukacita selepas kewafatan Abu Talib dan Siti Khadijah rha. Setelah Nabi membawa risalah dakwah kepada pemuka Bani Thaqif di Taif. Selain Abdu Yalil, terdapat dua tokoh lain yang diseru oleh Nabi SAW iaitu Habib dan Masu’d Bani Amru. Semua mereka menolak keras dakwah Nabi SAW.

Malah mereka menghina Nabi SAW dan menggunakan budak-budak bodoh dalam kalangan mereka untuk melemparkan batu sehingga cedera jasad Nabi dan darah mengalir sampai ke tumit baginda SAW.

Dalam situasi yang sangat remuk dan duka. Perasaan Nabi disakiti dengan penghinaan dan caci maki dilemparkan kepadanya, jasadnya pula dicederakan dengan dilempar batu ke arahnya.

Lalu Nabi SAW munajat mengadu hal kepada Allah SWT betapa lemah dan sedikit helah dirinya bagi mendepani penghinaan serta kedegilan dan kejahilan kaumnya. Namun Nabi SAW tidak peduli, asal tiada kemurkaan dari Allah buat dirinya, dia akan terus menjalankan tanggungjawab menyampaikan Islam ini ke ummah.

Mendengar doa itu, Allah utus malaikat menjaga bukit lalu memberi tawaran untuk bertindak balas. Tapi saksikan apa sikap Nabi SAW. Itu lah sikap seorang pendakwah utusan Allah SWT untuk menyelamatkan ummah.

Bukan berdakwah untuk kepuasan serta kepentingan diri dan mencari pengaruh kumpulan. Bila dakwah kita ditolak lalu kita hilang sabar dan pedoman serta bertindak balas kerana kononnya kita terlebih dahulu dikasari oleh mereka.

Nabi SAW melihat jauh ke hadapan dan membawa harapan besar dan tinggi untuk generasi muda akan datang yang bakal beriman dan mengabdikan diri kepada Allah SWT lalu bangkit berjuang menegakkan agama Allah SWT.

Dakwah adalah untuk menyelamatkan ummah agar keluar dari kegelapan jahiliah kuno atau moden.

Dakwah bukan untuk bermusuh dan bersengketa dengan ummah.

Dakwah bukan untuk bertegang urat, berlawan kata nista dengan madu’u (sasaran dakwah) di pentas ceramah mahupun di media sosial.

Dakwah bukan untuk lepaskan kembali dendam dan rasa geram kepada madu’u kerana mereka menolak dakwah kita.

Dakwah juga bukan medium untuk menampilkan diri bahawa kita lah yang paling hebat dan benar sehingga menafikan usaha amal Islami pihak lain.

Dakwah adalah tanggungjawab kita untuk menyampaikan risalah Islam kepada ummah lalu menyelamatkan mereka dari api neraka Allah SWT. Bersedia untuk kolaborasi dengan mana-mana pihak yang membawa cita-cita dan hasrat serupa bagi menegakkan syariat dan mengagung syiar Islam di bumi bertuah ini.

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
11 Syawal 1444 / 2 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 2/5/2023