Aksi laju, penganggur kantoi bawa dadah RM600,000

Aksi laju, penganggur kantoi bawa dadah RM600,000

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Tindakan seorang penganggur memandu dalam keadaan laju di lebuh raya berjaya membongkarkan kegiatan jenayahnya apabila dia ditahan bersama dadah jenis ekstasi bernilai hampir RM600,000, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di Lebuhraya Pedas-Ayer Keroh dan didapati lelaki terbabit memandu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Proton S70 yang dipandu suspek menemui bahan terlarang itu yang disembunyikan di dalam sebuah beg berwarna hitam di tempat duduk belakang.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai baru lima bulan aktif dalam kegiatan pengedaran dadah itu.

“Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 13,147 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat awal, suspek mengakui ini adalah kali pertama dia membawa bekalan dadah ke kawasan selatan.

“Disebabkan kelakuannya yang mencurigakan ketika memandu laju, anggota bertugas berjaya menahannya sebelum pemeriksaan lanjut menemukan dadah berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah, namun semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod berkaitan dadah.

“Antaranya kes di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(3) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

” Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top