Aktiviti lasak cabar diri fokus kepada kerjaya diceburi

Aktiviti lasak cabar diri fokus kepada kerjaya diceburi

am@hmetro.com.my

MEREDAH hutan tebal, menempuh jalan berlumpur dan menakluk muka bumi serba tak rata bukanlah ‘makanan’ orang biasa.

Apatah lagi buat mereka yang usianya sudah pun melepasi separuh abad!

Namun, bagi Rosmizan Rosman, 51, usia hanya angka dan ia bukan penghalang.

Kudratnya mungkin tidak segagah zaman muda, namun jiwa mudanya kekal membara tiap kali memulas pendikit jentera ‘scrambler’.

Biarpun sibuk dengan kerjaya sebagai eksekutif logistik, dia tetap meluangkan masa sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk meraih kepuasan dengan meredah denai hutan.

Bagi Rosmizan, selagi tubuh berdaya dan aspek keselamatan dijaga ketat, tidak ada alasan untuk ‘gantung helmet’.

Biarpun berdepan dengan risiko besar, memori hitam seperti pernah jatuh sehingga patah kaki, cedera tempurung lutut sehingga tidak boleh berjalan enam bulan dan pernah koma tidak sedarkan diri selama 28 hari langsung tidak mampu memadamkan minatnya pada sukan lasak ini.

Bercerita detik permulaan, Rosmizan mengakui minatnya terhadap scrambler mula hadir dalam dirinya sekitar 2011 selepas ‘teracun’ dengan aksi abang iparnya yang turut berkongsi hobi sama.

“Ketika itu, abang ipar saya baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini. Apabila dia datang ke rumah membawa motosikal berkenaan, saya terus tertarik dan teringin memilikinya.

“Sebelum itu, saya pernah menunggang pelbagai jenis motosikal termasuk RXZ, motosikal berkuasa tinggi dan kapcai.

“Namun, scrambler lebih mencabar dan memberikan kepuasan berbeza. Saya dapat menguji sejauh mana kemampuan diri ketika melalui laluan sukar,” katanya.

Ibarat sudah jatuh cinta, dia terus ‘melabur’ membeli Kawasaki KLX 150 berharga RM10,000 sebagai jentera sulung.

Tidak cukup dengan itu, dia turut membelanjakan antara RM2,800 hingga RM3,000 bagi mendapatkan kelengkapan keselamatan lengkap seperti topi keledar, pelindung lutut, gogal dan but khas.

“Aktiviti ini bukan sekadar duduk di atas motosikal dan memulas pendikit. Penunggang perlu menyediakan kelengkapan keselamatan serta mempelajari teknik mengawal motosikal dengan betul.

“Walaupun kos permulaannya agak tinggi, memiliki wang sahaja belum mencukupi. Seseorang perlu benar-benar mempunyai minat kerana aktiviti ini mencabar dan berisiko,” katanya.

Mengimbas zaman awal penglibatannya, Rosmizan mengakui pernah ‘gila’ menunggang.

Pantang ada masa terluang pada hujung minggu, pasti kelibatnya hilang di sebalik rimbunan hutan.

“Dahulu, paling kurang dua hingga tiga kali sebulan saya akan turun menunggang. Ada kalanya setiap minggu kecuali apabila mempunyai urusan lain atau pulang ke kampung.

“Sekarang saya kurangkan aktiviti itu. Rakan seperjuangan juga semakin berkurangan dan ada yang tidak lagi aktif,” katanya.

Antara ‘taman permainan’ kegemarannya termasuk kawasan sekitar Kota Tinggi, Gunung Muntahak dan laluan liar berhampiran Segamat setiap kali pulang ke kampung halaman isterinya.

Bagi orang luar, mandi lumpur dan bermandikan peluh mungkin menyeksakan, tetapi bagi Rosmizan, itulah ubat penawar tekanan paling mujarab selepas penat bekerja.

“Selepas menunggang, saya berasa puas dan tubuh menjadi lebih segar. Aktiviti ini membantu saya kekal aktif, di samping menjadi cara untuk mencabar diri.

“Scrambler juga memerlukan fokus tinggi kerana laluan yang dilalui tidak rata. Kita perlu sentiasa melihat keadaan di hadapan dan membuat keputusan dengan pantas,” katanya.

Uniknya, ketajaman fokus di kawasan lecak itu turut terbawa-bawa ke alam kerjaya. Tugasnya sebagai eksekutif logistik menjadi lebih efisien, malah tubuhnya lebih tahan daripada diserang penyakit ringan.

Namun, sukan bermotor lasak bukanlah perjalanan yang sentiasa indah. Rosmizan pernah diuji dengan kecederaan serius apabila terbabas ketika memecut laju sehingga tempurung lututnya cedera parah.

“Kejadian itu menyebabkan saya tidak boleh berjalan selama enam bulan. Saya hanya terlantar di rumah, tidak dapat bekerja dan tidak boleh bergerak ke mana-mana.

“Saya juga pernah terbabit dalam kemalangan ketika berlumba di litar hingga mengalami kecederaan di kepala. Saya dirawat di Hospital Batu Pahat malah koma selama 28 hari,” katanya.

Tragedi hitam itu tidak membuatkan jiwanya gentar. Sebaliknya, setiap calar dan parut di badan dijadikan ‘guru’ untuk dia terus matang mengawal jentera.

“Aktiviti ini boleh menjadi berbahaya jika kita tidak mempunyai kemahiran dan tidak tahu mengawal motosikal.

“Saya bermula daripada kosong dan belajar melalui pelbagai pengalaman termasuk jatuh, patah kaki serta terseliuh. Daripada situ, saya memperbaiki kemahiran sedikit demi sedikit,” katanya.

Menariknya, minat itu akhirnya turut dikongsi isterinya yang pada awalnya sering bimbang akan keselamatan Rosmizan setiap kali keluar menunggang pada hujung minggu.

Mahu isterinya faham, Rosmizan mengambil pendekatan berani dengan mengajak wanita itu merasai sendiri penangan motosikal lasak di kawasan berhampiran rumah.

“Apabila sudah mencuba, dia mula berasa seronok. Namun, isteri kurang berminat meredah laluan hutan seperti saya.

“Dia lebih menggemari ‘motocross’ yang dilakukan di litar. Saya pernah membawanya menunggang di litar di Kemaman dan Bandar Tenggara,” katanya.

Sejak detik itu, ‘penentang’ utama kini bertukar menjadi peneman setia. Isterinya mula aktif dalam bidang motosikal lasak dan Kawasaki KLX 150 milik Rosmizan bertukar milik menjadi kepunyaan isterinya sebelum Rosmizan membeli jentera baharu untuk kegunaan sendiri.

Kini, biarpun masing-masing tidak seaktif dulu, pasangan sejoli ini tetap mencari ruang menunggang bersama.

Rosmizan sempat menitipkan pesan buat generasi muda atau sesiapa sahaja yang mahu ‘mencelup kaki’ dalam arena ini agar sentiasa membumi dan tahu ukur baju di badan sendiri.

“Bagi mereka yang mahu mencabar diri dan melakukan aktiviti untuk menjaga kesihatan, bolehlah mencubanya.

“Namun, pelajari teknik yang betul, pakai kelengkapan keselamatan dan jangan melebihi kemampuan diri. Jika dilakukan dengan cara yang betul, aktiviti ini mampu memberikan kepuasan yang sukar diperoleh daripada hobi lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top