Alia Husna sedia galas cabaran negara

Alia Husna sedia galas cabaran negara

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Penembak muda kebangsaan, Alia Husna Budruddin sudah bersedia untuk menggalas cabaran negara pada temasya Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember depan.

Selepas mendapat pendedahan pada penyertaan pertama di Sukan SEA, Vietnam dua tahun lalu, atlet berasal dari Negeri Sembilan berusia 23 tahun itu berhasrat menebus kesilapan dengan merangkul pingat dalam kedua-dua acara bakal disertainya iaitu 50 meter rifle tiga posisi dan 10m air rifle individu.

Menurut Alia Husna, tempoh persiapan panjang selain menerima pendedahan dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa memberi impak yang baik dan positif terhadap prestasinya ketika ini.

“Setakat ini persiapan kami menuju ke Sukan SEA Thailand berjalan lancar dan saya sendiri dapat rasakan prestasi serta keyakinan diri semakin meningkat.

“Malah keputusan positif dicapai dalam beberapa kejohanan tahun ini, menambahkan lagi keyakinan untuk memberikan cabaran lebih baik di Thailand nanti.

“Namun, saya tidak boleh cepat berpuas hati sebaliknya perlu terus berusaha gigih menjalani latihan kerana cabaran di Sukan SEA menjanjikan saingan sengit dan sudah pasti tidak mahu sasaran yang saya tetapkan untuk mendapatkan pingat buat negara dalam kedua-dua acara itu, tersasar,” kata Alia Husna, hari ini.

Bagi memastikan persiapannya tidak terjejas, beliau sudah mengambil keputusan menangguhkan sementara pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula awal Oktober ini sehingga Februari depan, bagi memberi tumpuan kepada latihan.

Menurut penuntut Ijazah Sains Taman dan Rekreasi itu, langkah berkenaan perlu dilakukan kerana tidak mahu fokusnya untuk menghadapi Sukan SEA terjejas, apa lagi temasya berkenaan hanya berbaki kira-kira dua bulan lagi.

Dia yang terpilih bagi Kategori A pada Sukan SEA kali ini berbanding Kategori B pada temasya di Vietnam, dua tahun lalu, baru saja melakar kejayaan apabila muncul juara dalam Kejohanan Menembak Varsiti 2025, yang berlangsung Lapang Sasar Menembak UPNM Sungai Besi Kuala Lumpur, 12 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top