am@hmetro.com.my
Besut : Pembantu kedai makan milik Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kecik yang disahkan maut terbabas di Bukit Jeruk, di sini pada awalnya keberatan untuk mengikut rombongan keluarganya bercuti di Cameron Highlands, Pahang.
Ayah mangsa, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, berkata, pada awalnya anak sulungnya daripada lima beradik itu ‘berat hati’ untuk ikut bersama.
Katanya, Ahmad Azreeq Zafreen atau lebih mesra dengan panggilan Along tidak mahu mengambil cuti panjang serta mahu bekerja di kedai makan itu.
“Selalunya jika kami tujuh beranak bercuti ke Cameron Highlands kami akan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) namun kebetulan pada masa itu kenderaan berkenaan rosak.
“Along baru sahaja mengambil motosikal Yamaha R15 dalam tempoh sebulan lalu dan saya cuba ajak dia pergi bersama dengan menaiki motosikal itu kerana tidak muat untuk pergi dengan sebuah kereta.
“Dia pada awalnya tidak berminat ikut namun kembali setuju kerana teruja mahu mencuba motosikal baharu untuk ke Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, mereka tujuh beranak bergerak dari rumah di Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus dengan menaiki kereta Proton Persona manakala arwah menunggang motosikal kira-kira jam 11.30 malam, Khamis lalu.
“Kali terakhir kami berjumpa di stesen minyak di Saujana, Setiu untuk ke tandas sebelum saya bergerak dahulu selepas berpesan kepada Along supaya sentiasa ikut dari belakang kereta,” katanya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat dari orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki bersama motosikalnya kira-kira jam 6.40 petang tadi.
Katanya, jasad lelaki itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besut untuk proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




