Aminuddin ingatkan urus tadbir negeri bukan urus kedai runcit

SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengingatkan barisan kepimpinan negeri supaya membuat keputusan yang jelas, bukannya berubah-ubah.

Menerusi perkongsian videonya di Threads, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kepimpinan negeri tidak perlu takut dengan sebarang tekanan dan perlu berpegang kepada pendirian.

“Kepada pimpinan, jangan pula sekejap lain, sekejap lain. Kita tak boleh tak ada pendirian, hari ini lain, esok lain, macam apa ni.

“Ini bukan mengurus kedai runcit, ini mengurus negeri dan mesti ada pendirian. Tidak perlu kena tekan, jangan takut dengan manusia, takut kejujuran kita dengan Allah Taala,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, makmur dan maju jaya

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada mesyuarat 15 September lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan ahli MMK pada Rabu yang memaklumkan telah membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.

Dalam kenyataan terbabit turut diberitahu, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat MMK yang bersidang pada Selasa dan dipengerusikan Ismail dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.

Pada 9 September lalu, Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan telah ditandatangani oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Ia susulan kenyataan media Ismail pada 6 September lalu yang menzahirkan sokongan taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Katanya, fokusnya kini adalah untuk menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.

Namun, Ismail mendakwa telah dipaksa menandatangani dokumen proklamasi terbabit, tanpa menyatakan pihak atau individu yang memaksanya.

Beliau turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

 

 

 

Scroll to Top