Amir Hasan Susut 16 Kg, Disangka Ambil D*dah Gara-Gara Terlalu Kurus – “Tahap Oksigen Pernah Cecah 31%”

Amir Hasan Susut 16 Kg, Disangka Ambil D*dah Gara-Gara Terlalu Kurus – “Tahap Oksigen Pernah Cecah 31%”

Penyanyi Amir Hasan mengakui berdepan masalah kesihatan serius hingga menyebabkan berat badannya menyusut sebanyak 16 kilogram (kg).

Menurut Amir, sejak tahun lalu dia mengalami gastrik dan penyakit gastroesophageal reflux disease (GERD) yang agak teruk sehingga menjejaskan selera dan pola pemakanannya.

“Saya ada masalah gastrik dan GERD sejak tahun lalu. Kalau dulu boleh makan penuh satu pinggan, sekarang hanya sekitar 30 peratus sahaja. Saya tak boleh terlebih makan, kena ikut waktu dan makan dengan kerap,” katanya.

Perubahan drastik pada fizikal penyanyi lagu Gadis Yang Ku Tunggu itu turut menimbulkan salah faham, malah ibunya sendiri pernah menyangka dia mengambil bahan terlarang.

“Ada orang tak cam saya sebab terlalu kurus. Mak sampai marah dan risau, dia ingat saya ambil dadah. Saya terangkan pada dia, bukan sebab itu, tapi sebab kesihatan.

“Sebelum ini berat saya hampir 70 kg, sekarang tinggal sekitar 52 kg. Memang banyak susut, sampai semua baju jadi longgar,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Restoran Pizzaiolo di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, yang lebih membimbangkan, tahap oksigen Amir pernah jatuh sehingga 31 peratus akibat tabiat merokok dan penggunaan vape berlebihan, selain penyakit asma yang dihidapinya.

“Tiga bulan lalu saya masuk wad sebab oksigen tinggal 31 peratus sahaja. Doktor bekalkan ubat untuk kuatkan paru-paru. Alhamdulillah, sekarang bacaan dah naik ke 60 peratus, walaupun belum sepenuhnya pulih.

“Saya kena kawal stres dan elakkan kerja berlebihan. Malah, masalah pernafasan ini juga buat saya tak lagi aktif menyanyi kerana susah nak kawal nafas di atas pentas,” jelasnya.

Sekadar info, Restoran Pizzaiolo baru sahaja dibuka di Wangsa Maju, menawarkan pelbagai pilihan pizza sourdough seperti Wagyu, Marinara, Napoli 55 dan Garlic Moon, selain pastri serta pencuci mulut seperti Tiramisu.

Restoran ini beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 3 pagi.

Scroll to Top