Neymar tarik diri daripada rundingan bersama FC Cincinnati

Neymar tarik diri daripada rundingan bersama FC Cincinnati

New York: Bintang sensasi Brazil, Neymar dilaporkan tidak lagi berminat untuk menyertai FC Cincinnati, sekali gus menamatkan rundingan yang berlangsung sejak April lalu.

Bagaimanapun, penyerang berusia 34 tahun itu masih terbuka untuk beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) sekiranya menerima tawaran yang sesuai daripada kelab lain.

Menurut laporan The Athletic, FC Cincinnati sudah mengadakan perbincangan dengan Neymar sejak beberapa bulan lalu mengenai kemungkinan perpindahan ke Amerika Syarikat, namun tidak pernah mengemukakan tawaran rasmi.

Situasi itu dikatakan menyebabkan Neymar kecewa apabila proses rundingan berjalan terlalu perlahan sebelum dia akhirnya menarik diri daripada perbincangan.

Meskipun begitu, bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu tidak menutup pintu untuk berhijrah ke MLS sekiranya muncul projek yang benar-benar menepati kehendaknya.

Neymar kembali beraksi bersama Brazil apabila diturunkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 3-0 ke atas Scotland di Piala Dunia, sekali gus penampilan pertamanya bersama skuad Selecao sejak 2023.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol antarabangsa itu sebelum ini diketepikan akibat kecederaan betis kanan dan beberapa siri kecederaan lain yang mengganggu kariernya sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Selepas meninggalkan Al-Hilal dalam Liga Pro Arab Saudi, Neymar kembali menyertai Santos, kelab yang melonjakkan namanya di Brazil antara 2009 hingga 2013.

Sejak kembali ke Santos pada 2025, beliau sudah meledak 15 gol dalam 37 penampilan, manakala kontraknya bersama kelab itu akan berakhir pada Disember ini.

Sepanjang karier profesionalnya, Neymar telah menjaringkan 377 gol dalam 644 penampilan di peringkat kelab sepanjang 19 musim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top