Klaveness puas kejayaan Norway di Piala Dunia

Klaveness puas kejayaan Norway di Piala Dunia

Oslo: Norway kini berada di puncak kejayaan selepas layak ke peringkat kalah mati dalam penampilan semula mereka di Piala Dunia selepas 28 tahun, dan bagi Presiden Persekutuan Bolasepak Norway (NFF), Lise Klaveness, kejayaan itu membuktikan pendekatan holistik mereka terhadap bola sepak membuahkan hasil.

Sama seperti sambutan ‘dayung berirama’ yang terkenal dalam kalangan peminat mereka, Norway membangunkan bakat dengan menekankan kerja berpasukan, mewujudkan sistem di mana pemain muda kekal bersama kelab tempatan di bawah bimbingan jurulatih sukarelawan selama mungkin.

“Kami tidak mempunyai jurulatih profesional dalam bola sepak remaja – Erling (Haaland) dilatih sehingga remaja oleh sukarelawan sepenuhnya, mereka tidak dibayar walau satu sen.

“Sama juga dengan Martin (Odegaard, kapten Norway), jadi kami perlu membalas jasa mereka dalam beberapa cara,” kata Klaveness kepada Reuters menjelang perlawanan terakhir Kumpulan I menentang Perancis.

Hasil daripada usaha sukarelawan itu ialah dua perlawanan Piala Dunia yang menarik perhatian seluruh negara dengan Haaland meledak dua gol ketika menewaskan Iraq 4-1 sebelum menambah dua lagi gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Senegal yang memastikan kemaraan ke pusingan 32 terbaik.

“Model kami di Norway sangat bergantung kepada fakta bahawa bola sepak akar umbi dan elit saling berkait rapat. Kami tidak menilai dan memilih pemain pada usia muda.

“Kami mahu mereka kekal di kelab tempatan selama mungkin supaya kelab di seluruh Norway kekal hidup dan aktif,” jelas Klaveness.

Sepanjang 28 tahun ketiadaan mereka di pentas utama bola sepak lelaki, pasukan wanita Norway terus beraksi pada tahap tinggi dan NFF tidak pernah menyimpang daripada model inklusif yang menjadi asas sistem mereka.

“Ia bukan idea saya – saya mewarisinya. Ia satu konsensus besar bahawa ya, kami ada akademi, ya kami ada pencarian bakat, ya kami ada sekolah bola sepak kebangsaan dan sebagainya tetapi kami cuba membina kelab berkualiti di seluruh negara.

“Ini bermaksud kelab akar umbi sendiri boleh membangunkan pemain supaya mereka tidak perlu memandu empat atau lima jam untuk latihan atau berpindah dari rumah terlalu awal.

“Dan jika anda ambil semua pemain terbaik terlalu awal, kelab akan runtuh, jadi semua kelab elit kami juga adalah kelab akar umbi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top