Usahawan dan ikon fesyen terkenal, Datin Vivy Yusof tampil menjawab persoalan ramai mengenai status produk tudung miliknya berjenama dUck.
Menurut Vivy atau nama lengkapnya, Vivy Sofinas Yusof, menjelaskan dia sudah tidak mempunyai sebarang hak ke atas syarikat tersebut selepas Khazanah menjualnya kepada pelabur baharu.
“Saya tidak lagi terlibat dalam proses membuat keputusan berhubung syarikat itu. Semenjak Khazanah menjualnya kepada pelabur baharu, saya hanya tinggal sebagai pemegang saham minoriti dan hilang kerusi lembaga,” katanya.
Vivy memaklumkan keadaan menjadi lebih rumit apabila isu penjualan saham syarikatnya dibicarakan ketika di parlimen dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membekukan semua akaun mereka.
“Apabila isu penjualan saham Khazanah dalam syarikat saya dibangkitkan di Parlimen dan SPRM membekukan semua akaun kami untuk tujuan siasatan, ia seolah-olah membunuh kami terus, kami tidak boleh berniaga lagi.
“Syarikat tidak dapat membayar sesiapa, tidak mampu bayar sewa menyebabkan pusat membeli-belah menutup premis kami, tidak dapat membayar produk baharu sehingga semuanya jatuh merudum,” katanya.
Usahawan berusia 38 berkata demikian menerusi blog peribadinya, ‘Sincerely Vivy‘ yang dimuat naik pada 19 Ogos 2025.
Dalam masa sama, Vivy turut mengakui keadaan tersebut sangat menghancurkan hatinya kerana jenama yang terbina hasil titik peluh dan usaha sendiri musnah dalam sekelip mata.
“Perkara ini sangat tidak adil. Namun saya terpaksa menerima takdir jenama yang saya cipta dengan penuh kasih dan perhatian kini menjadi sejarah. Ia tempat paling menyakitkan untuk saya berada, hanya mampu melihat dari luar saja,” tulisnya lagi.

Pada 5 Disember 2024, Vivy dan suaminya, Datuk Fadza Anuar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa memindahkan wang itu ke akaun syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Lembaga Pengarah, dalam kejadian di sebuah bank di Plaza Damansara pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari lalu, kedua-duanya sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan dana sama bernilai RM8 juta, yang diperuntukkan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan dan denda.




