PETALING JAYA: Kecenderungan generasi muda untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan memilih bekerja awal antara fakta paling membimbangkan ketika ini.
Bekas Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, keadaan itu menggusarkan apabila seramai 7,099 calon tidak hadir bagi semua mata pelajaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Katanya, trend tersebut boleh menjejaskan pembangunan modal insan dan menyebabkan negara kehilangan potensi bakat berharga bagi menyokong pembangunan ekonomi.
“Jika perkara ini berterusan, hasrat negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan mencapai sasaran 35 peratus pekerja mahir mungkin tidak tercapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya trend generasi muda yang tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu diberi perhatian serius kerana ia berkait rapat dengan pembangunan modal insan negara.
Menurut laporan, untuk kemasukan sesi akademik 2026, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah merekodkan 351,012 permohonan lepasan SPM melalui UPUOnline.
Daripada jumlah itu, seramai 235,480 permohonan disahkan layak dan sebanyak 169,803 calon (72.11 peratus) telah ditawarkan tempat ke intitusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Mohd. Uzir bersara wajib bermula semalam selepas menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia sejak 14 Februari 2017 dan menabur bakti dalam perkhidmatan perangkaan negara selama lebih 36 tahun.
Mohd. Uzir berkata, trend kelahiran yang semakin mengecil dan kadar perceraian yang tinggi turut perlu dibimbangi kerana boleh memberi kesan kepada struktur demografi negara.
Katanya, purata umur wanita bagi kelahiran pertama kini mencecah 29 tahun berbanding awal 20-an kira-kira dua dekad lalu.
Beliau berkata, purata umur perkahwinan juga semakin lewat iaitu sekitar 28 tahun dan menunjukkan perubahan pola sosial yang boleh memberi implikasi kepada penduduk dan pembangunan negara pada masa depan.
Selain itu, Mohd. Uzir berkata, jumlah pengangguran yang meningkat kepada 826,100 orang ketika pandemik Covid-19 menjadi antara perkara pahit yang tidak dapat dilupakan sepanjang lebih 36 tahun berkhidmat dalam dunia perangkaan
Katanya, beliau sebagai individu yang bertanggungjawab mengumumkan statistik rasmi negara tidak dapat lari daripada rasa sedih dan turut terkesan apabila angka yang dikeluarkan mencerminkan kesukaran hidup rakyat.
“Ada keluarga berdepan ketidaktentuan, terpaksa menjual kereta dan tidak mampu membayar hutang. Jadi, bila kita umumkan angka seperti itu, ia memberi kesedihan kerana di sebalik angka itu ada kehidupan rakyat,” katanya.
Mohd. Uzir menjelaskan, semua statistik itu membuktikan kepentingan data yang tepat dan menyeluruh dalam membantu kerajaan merangka dasar yang lebih berkesan.
Katanya, Jabatan Perangkaan tidak seharusnya dilihat sebagai institusi hanya mengeluarkan angka sebaliknya memainkan peranan penting membantu negara membuat keputusan bagi memastikan program dilaksanakan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
“Statistik hanyalah alat, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana alat itu digunakan untuk menyelesaikan masalah seperti kemiskinan, kos sara hidup, pekerjaan dan produktiviti,” katanya. – UTUSAN




