Anak Pele dakwa bola sepak Brazil 'rosak'

Anak Pele dakwa bola sepak Brazil 'rosak'

Toronto: Anak sulung legenda bola sepak Brazil, Pele, Kely Nascimento menyifatkan sistem bola sepak negara itu ‘rosak’ dengan budaya kurang telus dan tiada akauntabiliti menjadi punca utama kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Menurut aktivis dan pengarah filem itu, masalah berkenaan sudah lama membelenggu bola sepak Brazil walaupun negara berkenaan tidak pernah ketandusan pemain berbakat.

“Bola sepak Brazil sudah rosak. Sama ada disebabkan rasuah atau faktor lain, ia seolah-olah sebuah ekosistem tertutup yang tidak boleh ditembusi.

“Semua orang tahu mengapa ia tidak berfungsi, tetapi tiada siapa mampu membaikinya,” katanya dalam temu bual bersama Reuters.

Brazil tersingkir daripada Piala Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada Norway pada pusingan 16 terbaik, sekali gus gagal mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 1990.

Juara dunia lima kali itu kali terakhir menjulang trofi Piala Dunia pada edisi 2002.

Menurut Kely, mendiang bapanya juga pernah berulang kali meluahkan kebimbangan terhadap hala tuju bola sepak Brazil dan percaya masalah sebenar terletak pada sistem pentadbiran, bukannya kualiti pemain.

Beliau turut membandingkan Brazil dengan negara seperti Perancis yang disifatkan memiliki struktur pembangunan dan pengurusan bola sepak lebih tersusun serta berkesan.

Bagaimanapun, Kely melihat pelaburan asing dalam kelab tempatan sebagai perkembangan positif, terutama kebangkitan semula Botafogo selepas diambil alih ahli perniagaan Amerika Syarikat, John Textor pada 2022.

“Ramai mengkritik cara beliau menguruskan kelab, tetapi setiap perkara pasti ada baik dan buruknya.

“Apa yang turut dibawa ialah ketelusan kerana beliau perlu bertanggungjawab kepada badan luar. Bagi saya, itu sesuatu yang positif walaupun terdapat pelbagai kritikan terhadapnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top