Madrid: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti akui dua faktor utama sebagai punca prestasi kurang memuaskan musim ini disebabkan kekurangan intensiti dalam pertahanan dan pergerakan bola yang perlahan.
Real Madrid menduduki tempat kedua dalam La Liga dengan 18 mata, tiga mata di belakang pendahulu Barcelona ketika skuad yang dipenuhi pemain bertaraf bintang termasuk Kylian Mbappe yang baharu menyertai pasukan musim ini kurang memberi impak.
Rabu lalu, juara bertahan La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu tewas buat pertama kali musim ini kepada kelab Perancis, Lille dalam saingan UCL.
“Kami masih berada di bawah tahap sebenar tetapi kami masih boleh meningkat, dan saya melihat perkara itu sedang berubah,” katanya.
“Saya fikir ada pemain yang masih mencari sentuhan terbaik dan ia perkara normal di mana kami perlu bersabar.
“Kami berdepan sedikit masalah di bahagian pertahanan dan juga dalam pergerakan bola. Namun saya yakin masalah itu akan dapat diatasi,” katanya.
Dalam pada masa sama, Ancelotti turut menolak dakwaan bahawa skuad itu tidak mempunyai skuad seimbang khususnya di bangku simpanan.
“Saya tidak fikir yang kami ketandusan pemain yang bagus di bangku simpanan. Kami ada banyak pilihan dan kualiti antara pemain utama dan di bangku simpanan sama.
“Tiada apa yang menganggu pasukan hanya kami masih belum menemui momentum sebenar dan ia akan berakhir tidak lama lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

