APMM tahan 5 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot dengan lima nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara semalam.

Bot nelayan itu dikesan Kapal Maritim (KM) Burau pada kedudukan 32.3 batu nautika barat Pulau Kendi di sini pada jam 5 petang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara ketika pihaknya menjalankan rondaan menerusi Ops Tanjung.

Katanya, bot tersebut dikendalikan lima kru warga Indonesia termasuk tekong berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun.

Bot nelayan Indonesia yang dikesan ceroboh perairan negara semalam.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dan kes akan disiasat di bawah Sek 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua nelayan termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Batu Maung untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette