Arab Saudi lancar serangan balas ke atas Houthi

Arab Saudi lancar serangan balas ke atas Houthi

Sanaa: Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan Houthi di Hodeida, Yaman,

pada Jumaat selepas kumpulan disokong Iran itu mengumumkan sekatan maritim terhadap kerajaan berkenaan serta menyerang kapalnya.

Media milik pemberontak mengesahkan dua individu mengalami kecederaan akibat serangan udara terbaharu itu.

Arab Saudi dan Houthi dilaporkan kembali berbalas serangan sejak kebelakangan ini buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun, sekali gus mengancam gencatan senjata 2022 yang masih bertahan walaupun tempoh rasminya sudah berakhir.

Pasukan gabungan pimpinan Arab Saudi berkata, pihaknya menyasarkan kedudukan Houthi dan memusnahkan beberapa sasaran yang didakwa mengancam kapal komersial sebagai tindak balas terhadap serangan di laluan perkapalan Laut Merah.

Sumber keselamatan Yaman memaklumkan kepada AFP bahawa pangkalan tentera laut di Hodeida serta kem tentera di Pulau Kamaran antara lokasi yang menjadi sasaran serangan.

Ketegangan itu tercetus selepas serangan terhadap kapal Arab Saudi ketika sekatan maritim oleh kumpulan pemberontak berkenaan menjejaskan keupayaan negara pengeksport minyak utama dunia itu untuk menyalurkan bekalan ke pasaran global.

Situasi berkenaan menjadi semakin rumit berikutan sekatan berasingan oleh Iran di Selat Hormuz iaitu satu lagi laluan maritim penting bagi Riyadh.

Jurucakap pasukan gabungan pimpinan Arab Saudi, Turki al-Maliki menerusi platform X berkata, pasukan Houthi menyasarkan kapal komersial di Laut Merah.

Beliau menambah bahawa pasukan gabungan melancarkan tindak balas tegas dan menyeluruh terhadap lokasi ketenteraan Houthi sebelum mengesahkan operasi tentera sudah berakhir.

Penduduk tempatan melaporkan terdengar beberapa letupan kuat berhampiran pelabuhan selain serangan udara yang menyasarkan bangunan telekomunikasi serta pangkalan tentera laut di Ras al-Kathib.

Media rasmi Arab Saudi memetik pegawai pihak berkuasa pengangkutan sebagai berkata, kapal NCC MASA milik syarikat Arab Saudi menjadi sasaran serangan di Laut Merah sehingga mengalami kerosakan kecil pada bahagian badan kapal sebelum meneruskan pelayaran.

Akses ke Laut Merah kini menjadi semakin penting bagi Arab Saudi untuk meneruskan penghantaran minyak terutama ketika laluan di Selat Hormuz berdepan gangguan.

Kumpulan Houthi dilaporkan berperang dengan kerajaan Yaman sejak 2014 dalam konflik berpanjangan yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top