Artis perlu tahu tanggungjawab, sentiasa berusaha perbaiki kelemahan – Asmidar

Artis perlu tahu tanggungjawab, sentiasa berusaha perbaiki kelemahan – Asmidar

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Asmidar Ahmad menasihatkan semua yang berkecimpung dalam bidang seni agar mengambilnya sebagai satu tanggungjawab yang besar.

Asmidar, bekas juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa (2011) berkata, biarpun bidang seni satu hiburan, tetapi ia juga satu tanggungjawab di mana inilah pekerjaan mereka yang terbabit di dalamnya.

“Kita perlu ada satu tanggungjawab. Bukan nak kecilkan hati sesiapa tapi kena ambil itu serius sebenarnya. Kalau kita nak jadi penyanyi dan kita tahu kekurangan, mungkin kita boleh belajar untuk perbaiki kelemahan.

“Benda ini tak salah pun kerana kita tak pernah rugi tuntut ilmu. Ia bukan kata untuk kita jadi penyanyi sempurna atau hebat tapi cukup sekadar kita rasa tanggungjawab dan kita nak buat yang terbaik dalam industri.

“Insya-Allah orang akan dapat melihat usaha kita nanti. Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua yang berada dalam bidang ini dan dapat bekerja dengan baik.” katanya.

Terdahulu, industri seni tanah air gamat dengan video tular The Gadys dianggotai oleh Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan yang gagal menyampaikan lagu medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia nyanyian asal Ria Resty Fauzi, Cinta Sampai Mati (Raffa Affar), dan Gadis Dan Bunga (Rahimah Rahim) di KNKV Viral Award 2024 dengan baik.

Nyanyian mereka dikatakan teruk dan merosakkan industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun wakil pengurusan mereka memaklumkan The Gadys berdepan masalah teknikal yang menjejaskan persembahan.

Asmidar yang popular dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang berkata, alasan itu kemungkinan boleh diterima berdasarkan faktor tertentu.

“Kadangkala nada itu terlalu tinggi dan susah untuk sesuaikan diri. Jadi, kita tak berhak untuk lihat dari satu sudut sahaja. Jangan menilai berita dari satu pihak. Kena dengar kedua-dua belah pihak agar jelas isunya.

“Kadangkala bila benda-benda teknikal berlaku, penyanyi profesional pun kena kesannya. Itu tak dinafikan. Saya minta kepada semua penyanyi baru supaya menyanyi elok-elok.

“Kalau ada kekurangan, pergi kelas vokal supaya bila ada masalah teknikal nanti kita tahu nak atasi macam mana. Mungkin ada caranya bila kita masuk kelas dan ada banyak pengalaman,” katanya.

Asmidar menyifatkan isu ini ada baik dan buruknya dari segi publisiti untuk kumpulan terbabit.

“Publisiti tetap publisiti. Jujurnya ia satu ‘turning point’ untuk mereka buktikan kebolehan yang sebenar. Jangan down dan buktikan mereka boleh buat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd