Aset lama, rosak kekang operasi SAR di laut

Aset lama, rosak kekang operasi SAR di laut

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Selain cuaca, kekangan aset menjadi cabaran utama pihak operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mengendalikan kemalangan di lautan.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, ini berikutan lokasi di laut memerlukan kawasan pencarian yang lebih luas selain keadaan laut bergelora dan jauh dari daratan.

Katanya, aset sedia ada masih boleh beroperasi namun memerlukan penambahbaikan dan aset baharu seperti peralatan enjin dan tambahan aset sesuai dengan keperluan semasa.

“Aset sedia ada berkeupayaan untuk digerakkan (namun) Maritim Malaysia, ada bot dan enjin yang berusia. Tidak semua boleh digerakkan.

“Kesiapsiagaan kami bukan hanya SAR tetapi operasi, namun kami sentiasa bersedia dalam setiap keadaan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media sempena Program Search and Rescue (SAREX) Jong Semerak di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Tok Bali, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil bagi memperkasakan SAR di lautan adalah menerusi SAREX membabitkan penyertaan 23 kementerian, jabatan dan agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan ramai lagi.

Latihan bersepadu ini diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan penganjuran utama oleh Maritim Malaysia Negeri Pahang yang menjadi platform menguji keberkesanan Prosedur Tetap (PROTAP) Mencari dan Menyelamat serta arahan NADMA No 1 di samping menilai tahap siap siaga semua agensi yang terbabit dalam SAR.

Latihan selama dua hari bermula kelmarin dan semalam membabitkan lebih 200 anggota dan pegawai serta 20 aset strategik merangkumi aset laut, darat dan udara.

Katanya, latihan dimulakan dengan Table Top Exercise (TTX), diikuti Field Training Exercise (FTX) yang memberi fokus kepada pengendalian insiden kecemasan di laut membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

“Latihan diakhiri dengan sesi Post Exercise Debrief (PXD) bagi membentangkan penilaian serta tambahbaik pelaksanaan latihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top