harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesemua 113 pelarian termasuk 109 warga Rohingya yang diusir baru-baru ini ditempatkan semula di tiga lokasi masing-masing sekitar ibu negara, Pulau Pinang dan Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, majoriti pelarian terbabit menggunakan khidmat e-hailing ke destinasi yang dituju.
“Destinasi pilihan pelarian terbabit adalah ke sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang berdasarkan kenalan dan saudara-mara mereka di destinasi terbabit.
“Pada jam 2 petang hingga 4 petang semalam, 109 pelarian Rohingya dan seorang wanita Indonesia iaitu isteri kepada ketua komuniti Rohingya termasuk satu pelarian dari Iraq dan Somalia dipindahkan ke destinasi ditetapkan NGO dan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pecahan individu membabitkan 66 orang dipindahkan sekitar ibu negara, Pulau Pinang (18 orang) dan Selangor (29 orang).
Katanya, proses pemindahan dimulakan dengan pengecaman semula pemilik dokumen dan mereka dilepaskan secara bergilir melalui pintu utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kesemua 113 pelarian yang berkhemah di hadapan pejabat UNHCR dipindahkan sementara ke IPK Kuala Lumpur kelmarin.
Sebelum itu, media melaporkan ratusan pelarian Rohingya menaiki tiga buah bas berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, di sini, selepas diusir penduduk tempatan di Pulau Pinang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




