Ativa boleh atasi Aruz, Alza – Utusan Digital

PETALING JAYA: Perodua Ativa berpotensi menjadi penjana volum keempat terbesar Perodua mengatasi model Aruz dan Alza dengan sasaran pengeluaran 3,000 unit sebulan.

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, sasaran itu meletakkan Ativa lebih tinggi berbanding Aruz dengan sasaran 1,875 unit sebulan dan lebih rendah berbanding Bezza dengan sasaran 4,750 unit sebulan.

Ketika ini, Myvi merupakan penyumbang volum terbesar dengan pecahan 30 peratus, diikuti Axia (27 peratus), Bezza (26 peratus), Aruz (10 peratus) dan Alza (tujuh peratus).

Menurut MIDF Research, Ativa merupakan antara kenderaan berautonomi tahap dua paling mampu milik dalam pasaran memandangkan ia dilengkapi sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0.

Kenderaan berautonomi tahap dua perlu dilengkapi sekurang-kurangnya dua ciri pemanduan berautonomi dalam satu model.

“Kelengkapan ASA tersebut merangkumi amaran sebelum pelanggaran dan pembrekan autonomi, amaran keluar depan dan kawalan kesalahan operasi pedal yang menjadi standard.

“Tambahan Kawalan Pengekalan Lorong (LKC) dan Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) meletakkan Ativa kepada kemampuan berautonomi tahap dua,” katanya.

Perodua Ativa dilancarkan Rabu lalu dalam satu majlis yang diadakan secara maya.

Model itu merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) kedua yang ditawarkan Perodua dan datang dalam tiga varian bersama enjin bercas turbo satu liter.

Menurut MIDF Research, dengan julat harga RM61,500 hingga RM72,000, model itu berada di antara Alza (RM49,900 hingga RM60,500) dengan Aruz (RM68,500 hingga RM73,200).

Malah, ia juga 22 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pesaingnya, Proton X50 yang berharga antara RM79,200 hingga RM103,300.

“Ativa adalah sehingga 95 peratus tempatan dengan jurutera Malaysia turut terlibat dalam pembangunan reka bentuk serta teknologi model itu,” kata MIDF Research. – UTUSAN

Scroll to Top