ATM pasang kawat duri di lokaliti zon merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

George Town: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mempersiapkan kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan dua lokaliti zon merah di daerah Timur Laut di sini petang tadi.

Lokasi terlibat adalah di flat Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B di Batu Uban.

Tinjauan Kosmo! di Relau petang tadi mendapati anggota tentera telah mula memasang pagar kawat duri di laluan masuk persiaran paya terubong 2,3 dan 4 pada pukul 6.30 petang.

Sebahagian penghuni di perumahan ini sudah dimaklumkan lebih awal mengenai PKPD, mereka hanya mampu melihat kediaman mereka ditutup sepenuhnya tadi.
Seorang penghuni warga Indonesia, Nurina, 25, berkata, dia akan mematuhi prosidur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

“Kami telahpun dimaklumkan lebih awal daripada ejen dan telahpun diberi cuti oleh majikan,” katanya di sini tadi.
PKPD di dua lokaliti zon merah di daerah Timur Laut melibatkan seramai 10,000 penduduk di 13 blok di Persiaran Paya Terubong dan sebanyak 2,300 penduduk di Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban.

Penduduk di Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban itu majoritinya terdiri daripada warga asing yang bekerja di pelbagai sektor di negeri ini terutama operator kilang.
Kawalan di lokasi itu akan dilakukan polis dengan bantuan ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Sumber dan Foto: Kosmo

Malay News
National Desk