Pelakon Azhar Sulaiman tampil berkongsi pandangan peribadinya berhubung kes penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta melibatkan tiga individu yang bekerja dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Kata Azhar, tindakan sedemikian disifatkan seperti ‘tupai’ yang pada akhirnya akan menerima balasan atas perbuatan mereka.
“Geng tidak amanah ni adalah seperti tupai, pasti akan jatuh ke tanah semasa hidupnya dan dilaknati Allah SWT,” katanya.
Berkongsi tangkap layar laporan berita Buletin TV3, Azhar menegaskan, menderma secara ‘rahsia’pasti akan mendapat ganjaran yang lebih besar daripada Allah SWT.
“Bila kita menderma dan membayar zakat, faedahnya akan datang semasa kita hidup dan di akhirat kelak. Sebagai Muslim, kewajipan untuk bersedekah kita selesai.
“Dan, ingat inshaa-Allah menderma secara berahsia akan mendapat faedah yang lebih besar dari-Nya,” jelasnya.


Terdahulu, Timbalan Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes, selain rumah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama mewah.
Malah, dalam serbuan ini sebanyak 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta turut dibekukan dalam operasi tersebut.




