'Baca skrip berulang kali untuk fahami watak'

'Baca skrip berulang kali untuk fahami watak'

am@hmetro.com.my

Pelakon Ali Reza Kavoossi, 28, mengakui berdepan cabaran besar apabila digandingkan dengan pelakon berpengalaman Siti Elizad Sharifuddin menerusi drama terbaharunya Perempuan Tidak Ternikah yang berkonsep komedi romantik.

Menurut Ali, meskipun kali pertama bekerjasama dengan Siti Elizad, keserasian antara mereka mudah tercipta hasil perbincangan awal dan latihan sebelum penggambaran bermula.

“Kalau tengok barisan pelakon, semuanya hebat dan saya anggap Siti Elizad serta pelakon lain sebagai senior disebabkan pengalaman mereka jauh lebih banyak daripada saya.

“Jadi saya ambil peluang ini untuk belajar dan cabar diri saya,” katanya.

Ali berkata, dia mengambil pendekatan membaca skrip berulang kali untuk memahami watak dan jalan cerita, selain berbincang dengan pengarah serta pelakon lain bagi memastikan wujud keserasian ketika di set penggambaran.

“Saya suka baca skrip lebih dari sekali dan akan mencatat perkara penting serta membayangkan situasi supaya bila masuk set penggambaran sudah boleh menjiwai watak itu.

“Kami juga membuat sesi latihan untuk beberapa babak sebelum penggambaran bermula supaya tidak kekok,” katanya.

Mengulas cabaran membawa watak suami kepada Siti Elizad yang lebih berusia berbanding dirinya, Ali mengakui ia bukan halangan besar.

“Saya sudah biasa berlakon dengan pelakon yang lebih berumur daripada saya, jadi tak kekok sangat.

“Cuma dari segi kematangan watak itu saya perlu tingkatkan, walaupun umur saya 28 tahun dan belum berkahwin, saya kena nampak boleh dipercayai sebagai suami,” katanya.

Menurut Ali, perubahan penampilan turut membantu untuk menjadikan wataknya lebih matang dalam drama berkenaan.

“Sebelum ini saya selalu ‘clean shave’, saya nampak muda sangat. Kali ini saya kekalkan misai dan janggut sikit supaya nampak lebih matang dan sesuai dengan watak,” katanya.

Apabila ditanya mengenai kehidupan peribadi, Ali berkata, dia masih bujang dan belum bersedia untuk mempunyai hubungan serius.

“Saya banyak dapat soalan ini dan jujur, saya memang belum ada sesiapa. Fokus saya lebih kepada kerja dan keluarga sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Ali berkata, dia kini lebih terbuka untuk mengenali sesiapa pun.

“Macam saya cakap, saya sudah buka hati dan bersedia untuk berkenalan dengan orang baharu, tetapi tidak mahu untuk terburu-buru.

“Kalau rasa sesuai, baru kita teruskan tetapi kalau tidak sesuai, kita ‘move on’ sajalah,” katanya.

Berbicara mengenai ciri wanita idamannya, Ali tanpa berselindung mengakui dia agak cerewet dalam soal memilih pasangan hidupnya.

“Saya agak memilih sebenarnya tetapi bagi saya, nombor satu adalah agama.

“Selain itu, dia juga perlu mempunyai sifat keibuan sebab saya nak cari seseorang yang boleh jadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak saya,” katanya.

Pelakon yang pernah membintangi drama ‘Pengantin Pasti Jadi’ itu turut menegaskan dia kini lebih fokus kepada peningkatan kerjayanya berbanding kisah peribadi.

“Ramai pelakon baharu sekarang, jadi saya perlu kerja keras untuk kekal relevan. Bagi saya, cara kita bawa diri, hormat orang dan tak sombong itu yang penting.

“Saya nak orang kenal saya sebab karya, bukan sebab gosip,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top