
Ketua jurulatih Bahrain, Juan Antonio Pizzi (kiri) dan pemain Bahrain Ali Madan pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan E, Malaysia menentang Bahrain sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama pada Jumaat. Foto Bernama
BAHRAIN menjangkakan pertarungan sengit dari Malaysia menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada perlawanan kedua Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hammad, esok.
Ketua jurulatih skuad Dilmun Warriors, Juan Antonio Pizzi berkata, walaupun mencatat rekod baik menentang Harimau Malaya, Bahrain tidak akan mengharungi perlawanan yang mudah kerana kedua-dua pasukan mempunyai matlamat yang sama untuk layak ke pusingan 16 terbaik.
Bagaimanapun, pengendali berusia 55 tahun dari Argentina itu, yang membimbing Chile merangkul kejuaraan Copa America pada 2016, berkata pasukannya tidak mencari sebarang keputusan selain kemenangan ke atas Malaysia kendalian Kim Pan Gon.
“Bagi saya, tidak kira apa keputusan perlawanan sebelum ini antara kami…kami di sini hanya tumpu untuk mendapatkan tiga mata. Kami sudah ada rancangan dan pemain tahu mereka perlu memberikan segalanya.



