Bangunkan sistem amaran awal bencana – Utusan Digital

YAN:  Kerajaan diminta supaya bertindak lebih berani dengan membuat pelaburan dalam pengurusan pengurangan risiko bencana di negara ini termasuk menyediakan sistem amaran awal di lokasi-lokasi berpotensi berlakunya tragedi. 

 

Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM), Abd. Rasid Jaapar berkata, perkara itu adalah sesuatu yang sering dititik beratkan oleh negara-negara membangun dengan Malaysia turut tidak boleh terkecuali daripada memilikinya. 

 

Katanya, selain sistem amaran awal, antara aspek yang turut perlu diberi perhatian adalah kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang kemungkinan. 

 

“Kita amat berharap kerajaan beri perhatian terhadap perkara ini. Selain sistem amaran awal, soal kesiapsiagaan masyarakat selain pemetaan risiko bencana lebih komprehensif membabitkan pelbagai agensi turut perlu diambil kira. 

 

“Semua perkara itu berkait rapat dengan pengurusan risiko bencana. Sejak dari kejadian Highland Tower lagi setiap kali berlakunya bencana, ada pelbagai pengumuman dibuat.

 

“Namun, kita tak mahu apa yang diumum itu sekadar menjadi retorik tetapi tidak dilaksanakan,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengetuai lawatan kerja Majlis Koordinasi Geosains Malaysia (MGCC) ke lokasi bencana aliran puing di Gunung Jerai di sini hari ini. 

 

Turut hadir  Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Ahmad Nizam Hasan dan Presiden Persatuan Perunding dan Perkhidmatan Geosains Malaysia, Datuk Amran Mohamad. 

 

Beliau menambah, sebagai negara yang terlibat dengan Rangka Kerja Sendai Mengenai Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030, Malaysia turut perlu memiliki sistem yang mampu mengurangkan risiko berlaku bencana seperti yang ada di Hong Kong serta Taiwan dalam memantau kawasan berisiko. 

 

“Peralatan bagi membina sistem itu mungkin perlu diimport dari luar negara namun pakar-pakar tempatan diyakini mampu membangunkan rangkaian sistem pemantauan tersebut dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

 

“Sistem ini boleh diselaraskan secara bersama, contohnya antara Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Pejabat Daerah di sesuatu kawasan agar langkah komprehensif dapat diambil di bawah bidang kuasa kedua-dua pihak,” katanya.  -UTUSAN ONLINE