Banjir gelombang keempat di Terengganu pulih sepenuhnya

Kuala Terengganu: Semua mangsa banjir di negeri ini dbenarkan pulang apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Dungun ditutup secara rasmi pada 1 tengah hari tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua 114 mangsa daripada 34 keluarga di dua PPS itu dibenarkan pulang setelah banjir pulih dan kediaman mangsa selamat untuk diduduki.
Beliau berkata, dua PPS terakhir ditutup di daerah Dungun ialah Dewan Masjid Kampung Serdang dan Dewan Sivik Paka.
“Keadaan cuaca agak baik dengan beberapa kawasan mendung menggambarkan gelombang banjir keempat sejak Khamis lalu telah berakhir.
“Namun semua agensi berkaitan bencana banjir masih dalam keadaan siap siaga dan penduduk di kawasan berisiko juga perlu peka dengan sebarang perubahan cuaca Monsun Timur Laut yang hanya dijangka berakhir Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam masa yang sama beliau menasihatkan semua mangsa berhati- hati terhadap haiwan berbisa atau objek tajam kesan tinggalan banjir.
Banjir gelombang pertama di Terengganu bermula pada 17 hingga 19 Nov lepas manakala gelombang kedua bermula pada 23 Nov hingga 2 Dis.
Gelombang ketiga banjir bermula pada lewat malam 2 hingga 9 Dis lepas. Seminggu selepas itu, banjir gelombang keempat pula berlaku pada 17 Dis bermula di Kemaman dan tamat hari ini.
Gelombang keempat ini merekodkan mangsa tertinggi dengan jumlah lebih 8,000 mangsa terjejas dan daerah Kemaman menjadi lokasi terjejas teruk.

ZA137 Malay News
National Desk