am@hmetro.com.my
Georgetown: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah diarahkan mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata NADMA bekerjasama erat dengan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bagi memastikan semua bentuk bantuan disalurkan dengan berkesan.
Menurutnya, bantuan itu turut merangkumi usaha pembinaan semula rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) serta kerja membaik pulih kemudahan awam yang rosak selain menyalurkan bantuan tunai kepada setiap keluarga yang terjejas.
“Kita akan kerjasama dengan jawatankuasa bencana peringkat daerah dan negeri Sabah untuk mengetahui jumlah sebenar yang memerlukan pembinaan rumah berkenaan daripada wang RM10 juta yang diperuntukkan Perdana Menteri kepada NADMA.
“Saya juga difahamkan jambatan di Sungai Kaiduan di Papar telah runtuh akibat banjir dan sudah mengarahkan pemasangan jambatan Bailey dibuat segera,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pendaratan tuna di Pelabuhan Dermaga Dalam di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat memaklumkan, NADMA telah membekalkan tiga unit stok jambatan keluli bermodular kepada kerajaan negeri Sabah tahun lalu sebagai keperluan logistik untuk meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur dalam berdepan bencana.
Menurutnya, beliau sudah memohon JKR Sabah dan RAJD yang memiliki kepakaran khusus dalam pembinaan jambatan Bailey segera membuat pemasangan di kawasan terjejas.
Katanya JKR Sabah kini giat memberi tumpuan kepada kerja baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang – Tambunan dengan kerjasama syarikat konsesi berikutan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan utama.
“Usaha pembersihan runtuhan, penstabilan cerun dan pembaikan segera sedang dipergiat termasuk menyusun kerja pembinaan semula jambatan gantung yang terputus.
“Selain itu usaha membina semula tembok penahan cerun di kawasan perumahan yang mengalami kerosakan akibat hakisan dan tanah runtuh serta membaiki jalan raya yang runtuh turut sedang dilaksanakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

