BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) kini menawarkan perkhidmatan pengurusan wakalah zakat kepada individu atau syarikat untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, inisiatif ini adalah perkongsian pintar antara Bank Muamalat dan pelanggan yang membayar zakat dalam usaha berterusan memperkasakan pengagihan zakat kepada asnaf.
Katanya, di samping itu ia memberi kemudahan kepada pembayar zakat terutama pelanggan Bank Muamalat dalam menunaikan tuntutan zakat mereka.
“Sebagai institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat sentiasa komited dalam menyokong perkembangan institusi zakat yang membolehkan dana zakat dapat diagihkan secara lebih meluas serta menyeluruh bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan kehidupan golongan kurang berkemampuan terus terbela.
“Sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat, Bank Muamalat mengalu-alukan individu dan entiti perniagaan untuk mewakilkan Bank Muamalat bagi menguruskan wakalah zakat mereka.
“Bank Muamalat akan menguruskan pengagihan zakat ini secara telus dan tiada caj dikenakan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, KMF Network dan Muamalat Invest Sendirian Berhad masing-masing menyerahkan sejumlah RM150,000 dan RM24,000 kepada Bank Muamalat untuk diagihkan kepada penerima yang layak mengikut kriteria ditetapkan.
Menurutnya, Bank Muamalat akan mengagihkan wakalah zakat sebanyak RM150,000 daripada KMF Network kepada usahawan mikro dan asnaf menerusi pembiayaan iTEKAD Bank Muamalat bagi membantu mereka menjana pendapatan yang mampan dan memperkukuh pengurusan kewangan.
Manakala wakalah zakat berjumlah RM24,000 daripada Muamalat Invest Sendirian Berhad akan diagihkan kepada Yayasan Uniti bagi tujuan pembelian kaki palsu yang akan memanfaatkan golongan yang memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




