Barang kes RM1.4 juta dilupuskan

Barang kes RM1.4 juta dilupuskan

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Polis melupuskan pelbagai barang kes jenayah bernilai lebih RM1.4 juta di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Majlis Pelupusan Barang Kes dan Minum Petang bersama Ketua Polis Daerah Subang Jaya itu menyaksikan pelupusan membabitkan barangan rampasan dari 635 kertas siasatan jenayah dan jenayah komersial bagi tempoh antara 2004 hingga 2024.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, barangan dilupuskan merangkumi kes perjudian, pusat hiburan, kegiatan melombong mata wang kripto secara haram, barang kontraban dan jenayah komersial.

“Antara yang dimusnahkan ialah 548 set komputer, komputer riba dan telefon bimbit digunakan untuk perjudian dalam talian, dengan anggaran nilai RM582,400.

“Turut dilupuskan 635 mesin melombong bitcoin bernilai RM286,200; 650 tin dan 502 botol minuman keras serta 293 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM362,911, selain 29,307 keping VCD/DVD cetak rompak bersama lima telefon bimbit dan empat komputer riba bernilai RM214,149,” katanya.

Menurutnya, semua barangan itu mendapat arahan pelupusan daripada Pejabat Peguam Negara selepas pesalah dibicarakan dan dihukum oleh mahkamah.

“Proses pelupusan dibuat mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) serta Seksyen 406A dan 407A Kanun Prosedur Jenayah, dan dilaksanakan menerusi kaedah e-waste serta jualan sisa besi dan pepejal,” katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Polis Mohd Zaini Abu Hassan, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Risikan/Operasi) Selangor, Superintendan Yap Huat Tian, Pegawai Turus D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor, Superintendan Supari Muhammad serta Majistret Mahkamah Shah Alam, Mohamad Redza Azhar Rezali.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah seperti perjudian, penyeludupan barangan tidak bercukai dan mencuri elektrik untuk melombong bitcoin kerana ia satu kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Orang awam juga digalak menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah ke IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top