Barcelona: Barcelona membawa masuk penyerang berusia 15 tahun Lamine Yamal ketika mereka melakar kemenangan 4-0 ke atas Real Betis dan menjadikannya pemain termuda mereka dalam La Liga.
Kelab Catalan itu menjelaskan bahawa dia adalah pemain kedua termuda mereka sepanjang zaman, di belakang Albert Almasque pada 1902 yang bermain dalam Piala Macaya pada usia 13 tahun, 11 bulan dan enam hari.
Pemain sayap itu menggantikan Gavi ketika perlawanan berbaki empat minit masa kecederaan untuk membuat penampilan sulung pada usia 15 tahun, sembilan bulan dan 16 hari.
“Dia mempunyai bakat luar biasa di bahagian serangan yang sukar dicari. Dia tidak kelihatan seperti baru berusia 15 tahun, dia lebih matang daripada usianya. Saya melihatnya dalam latihan dan dia menunjukkannya.
“Dia bermain 10 minit dan bermain dengan baik dan mampu melakar sesuatu bersama kelab.
Yamal sempat melakukan rembatan tepat pada penampilan pertamanya itu ketika Barcelona kembali melebarkan kelebihan 11 mata mereka di puncak liga.
Xavi turut membandingkannya dengan Lionel Messi dan Ansu Fati yang juga membuat penampilan sulung mereka pada usia muda bersma kelab itu.
“Saya memberitahunya untuk mencuba sesuatu dan dia melakukannya,” kata Xavi.
“Pada usia 15 tahun, bayangkan sahaja. Dia seorang pemain istimewa, dia boleh menjaringkan gol, membantu, dia mempunyai keyakinan.”
Yamal turut mencipta peluang untuk Ousmane Dembele dalam kemenangan yang meletakkan mereka semakin hampir kepada gelaran pertama La Liga sejak tahun 2019.
Real Madrid sebelum itu menewaskan Almeria 4-2 untuk merapatkan jurang kepada lapan mata, tetapi Barcelona kembali mengukuhkan kedudukan selepas membelasah Betis.
© New Straits Times Press (M) Bhd

