Barcelona hampir dapatkan Aubameyang

Barcelona hampir dapatkan Aubameyang

MADRID: Barcelona dilaporkan semakin hampir menandatangani Pierre-Emerick Aubameyang malam tadi selepas Arsenal bersetuju melepaskan bekas kapten mereka itu secara percuma.

Aubameyang akan menyertai Barca menerusi perjanjian asal selama enam bulan, menurut laporan akhbar Sepanyol selain ada pilihan untuk menyambungnya setahun lagi.

Perpindahan itu tidak perlu diumumkan sebelum pintu perpindahan ditutup hari ini kerana Aubameyang dilaporkan sudah bergelar ejen bebas.

Dia sebelum itu mengejutkan Barcelona dengan berkunjung ke bandar berkenaan, tempat ayahnya memiliki rumah dan perbincangan berlangsung mengenai gaji pemain itu.

Barca terus dibelenggu hutang yang banyak dilaporkan melebihi 1 bilion euro (RM4.7 bilion).

Kelab itu juga gagal menjual Ousmane Dembele, yang kini boleh meninggalkan kelab secara percuma apabila kontraknya tamat pada musim panas.

Walaupun Dembele kekal, perjanjian membabitkan Aubameyang dibuat beberapa jam selepas itu apabila Arsenal dikatakan bersetuju melepaskan bekas kapten mereka menerusi perpindahan percuma, membolehkan kelab itu bebas daripada semua bebanan gajinya.

Sementara itu Aubameyang dipercayai bersetuju mengurangkan gajinya yang diterima di Arsenal, bermula sekitar 300,000 euro (RM1.4 juta) seminggu bagi mengesahkan perpindahan ke Camp Nou. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top