Barcelona kembali buru gelaran liga

Seville, Sepanyol: Barcelona menghidupkan peluang mengejar gelaran selepas gol Lionel Messi dan Ousmane Dembele memberikan kemenangan 2-0 mengatasi Sevilla awal pagi tadi seterusnya meletakkan mereka dua mata di belakang Atletico Madrid.

Atletico masih memiliki dua perlawanan dalam tangan dengan yang pertama akan berdepan Villarreal awal pagi esok namun prestasi merudum pendahulu La Liga itu memberikan peluang buat pencabar lain.

Barca tampak merudum beberapa minggu lalu tetapi mereka kini mencatatkan kemenangan kesembilan daripada 10 saingan La Liga, pencapaian yang membawa kembali mereka ke kedudukan terbaik manakala Atletico akan menentang Real Madrid minggu depan.

“Kami melalui tempoh yang sukar dan kini kami bangkit,” kata pemain Barca, Gerard Pique.
“Sudah pasti pemburuan gelaran masih belum berakhir, ada keyakinan dan harapan tinggi terhadap pasukan ini.”

Sevilla memulakan permainan pada tahap terbaik selepas menang semua enam perlawanan liga, lima perlawanan terakhir tanpa melepaskan sebarang gol.
Namun mereka diatasi dekat Ramon Sanchez Pizjuan menerusi persembahan dominan Barcelona. – AFP

Malay News
Sports Desk

 

Scroll to Top