Johor Bahru : Selepas hampir lima tahun kukuh membina jenama dalam industri makanan dan minuman (F&B), pempengaruh serta usahawan terkenal, Ashhry Atan mengorak langkah bergaya apabila melancarkan cawangan kedua restorannya, Ashhryshoshedap R & F di sini, baru-baru ini.
Membawa kelainan tersendiri, cawangan baharu itu tampil dengan konsep Mediterranean Santorini yang menerapkan gabungan rona biru dan putih sebagai identiti utama premis.
Ashhry, 36, memberitahu inspirasi rekaan itu lahir daripada impian peribadinya yang sudah lama memasang hajat untuk melancong ke destinasi pelancongan terkenal berkenaan.
“Saya memang sudah lama mengimpikan untuk ke Santorini. Malah, saya sepatutnya ke sana pada April 2020, namun perancangan itu tidak kesampaian akibat pandemik Covid-19.
“Disebabkan itu, saya membawa inspirasi Santorini ke dalam restoran ini supaya pelanggan dapat merasai sendiri suasana yang saya impikan selama ini,” katanya.
Selain menawarkan suasana yang lebih eksklusif dan santai, cawangan di R&F ini turut memperkenalkan pilihan menu yang lebih premium berbanding premis pertamanya.
Antara sajian utama yang bakal memanjakan selera pelanggan termasuk hidangan stik, wagyu, lobster serta pelbagai pilihan makanan laut segar pada julat harga berpatutan bermula RM20 hingga RM500.
Bagi anak jati Kota Tinggi ini, pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi titik memperkembangkan empayarnya adalah tanda penghargaan kepada sokongan masyarakat setempat.
“Sokongan masyarakat Johor terhadap jenama saya memang luar biasa sejak hari pertama. Tambahan pula, Johor kini menjadi antara destinasi yang menerima kunjungan pelancong yang sangat tinggi. Sebab itu saya mahu terus mengukuhkan jenama ini di negeri kelahiran saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang menyasarkan ruang kapasiti sehingga 100 pelanggan pada satu-satu masa di cawangan baharu itu berharap kejayaannya dapat memberikan inspirasi buat golongan muda.
“Saya percaya usia bukan penghalang untuk berjaya. Pada usia 36 tahun, saya bersyukur kerana dapat mengembangkan perniagaan sehingga membuka cawangan kedua ketika jenama ini menghampiri ulang tahun kelima.
“Saya mahu membuktikan bahawa anak muda juga mampu membina empayar perniagaan sendiri jika berani bermula,” tambahnya yang kekal optimis meskipun persaingan industri F&B di Johor semakin sengit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




