redzuan.muharam@hmetro.com.my
FOTO: IHSAN MUHAMAD IKMAL DANIAL ROSMAN
Raub: Kegembiraan pasangan ini menimang cahaya mata sulung hanya dapat dinikmati seketika saja selepas bayi mereka disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru tidak lama selepas dilahirkan pada 21 Julai lalu.
Meskipun sedih, Muhamad Ikmal Danial Rosman, 25, dan isteri, Siti Nur Adha Mohamad, 25, tiada daya melawan takdir dan hanya mampu menerima ujian menimpa anak mereka, Mohamad Ilham Azhad Mohamad Ikmal Danial yang kini berusia 22 hari.
Berikutan itu, Mohamad Ilham Azhad ditempatkan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) dekat Hospital Kuala Lipis, Pahang kerana masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Berkongsi kisah itu, Muhamad Ikmal Danial dari Kampung Bukit Pampong, di sini, berkata, apa yang terjadi di luar jangkaan dia dan isteri kerana anaknya tiada menunjukkan masalah kesihatan ketika di dalam kandungan.
“Allah SWT saja tahu macam mana perasaan saya malah isteri menangis bila dapat tahu keadaan anak.
“Saya pun sedih cuma kena kuat kerana perlu beri sokongan kepada isteri.
“Keluarga saya dan mentua banyak bagi semangat begitu juga dengan rakan terdekat.
“Cuma setiap malam, kami akan terbayang anak di hospital sampai tak boleh tidur kerana setiap malam terbayang keadaan anak…isteri pun sama sehingga dia tak berselera nak makan walaupun masih dalam tempoh berpantang,” katanya kepada Harian Metro.
Muhamad Ikmal Danial berkata, buat masa ini, isterinya yang menemani anak mereka di NICU manakala dia menunggu di bilik pelawat.
Katanya, keadaan agak membimbangkan kerana anaknya masih kritikal malah bergantung kepada paras oksigen paling tinggi.
“Anak minum susu cuma tak boleh (minum) macam biasa kerana perlu melalui saluran tiub yang disambung pada hidung.
“Mengenangkan keadaan anak, saya terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik pada 29 Julai lalu kerana perlu bergilir-gilir membantu isteri menjaga anak.
“Risau juga memikirkan bagaimana nak mendapatkan wang bagi membayar kos rawatan sepanjang tempoh anak di hospital kerana hanya tahu berapa jumlahnya selepas keluar dari wad nanti,” katanya.
Sebagai bapa, tiada lain diharapkan Muhamad Ikmal Danial melainkan melihat anaknya sembuh seterusnya bebas daripada penyakit.
“Sejak dilahirkan hingga sekarang, anak tak pernah pulang ke rumah.
“Jadi, saya berdoa dan sentiasa mengharapkan anak kuat melawan penyakit seterusnya dibenarkan keluar dari hospital.
“Tak sampai hati lihat anak berterusan begitu cuma anggap apa yang berlaku sebagai ujian Allah SWT nak bagi buat keluarga kecil kami,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 007433057136 atas nama Muhamad Ikmal Danial Rosman.
© New Straits Times Press (M) Bhd
