Bayi baru lahir DUN Panching dapat hadiah akaun SSPN-i

KUANTAN –  Semua bayi baru lahir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching berpeluang menikmati faedah pembukaan akaun percuma Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) sebagai persediaan tabungan pendidikan awal kepada anak-anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahya berkata, inisiatif tersebut bagi memupuk kesedaran tabiat menyimpan dalam kalangan ibu muda demi masa depan anak-anak mereka menyambung pelajaran.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong mereka yang mahu merancang kewangan bagi persediaan tabung pendidikan.

“Sambil melawat ibu bapa yang mendapat bayi baru di samping memberi hadiah penajaan pembukaan akaun SSPN-i, jadi jika ada bayi kelahiran baru di DUN Pahching boleh maklumkan untuk diziarah.

“Tabung ini penting bagi membina kesedaran kepada ibu-ibu muda tentang keperluan dan kepentingan membuka akaun SSPN-i sejak daripada anak lahir bukan bila anak sudah besar.

“Anak lahir saja ibu bapa sudah boleh mula menabung untuk masa depan mereka pada masa akan datang,” ujarnya ketika ditemui selepas mentahnik bayi, Nia Yasmin Zahari yang berusia 29 hari di sini hari ini.

Ibu kepada Nia pula, Syazwani Mat Hussin, 23, bersyukur mendapat sumbangan kelahiran berbentuk saguhati serta tajaan pembukaan akaun SSPN-i dan berhasrat membuat tabungan tambahan.

“SSPN-i menjamin masa depan anak saya untuk simpanan pendidikan kelak, kalau boleh tidak mahu membuat pinjaman untuk pendidikan anak nanti,” katanya yang masih dalam berpantang.

Manakala bagi Nur Hidayah Mohd Azmi,28, pula sememangnya dia ada perancangan untuk membuka akaun tabungan kepada anaknya,  Muhammad Hafiz Naufal yang kini berusia dua bulan.

“Gembira kerana ada pihak yang membantu menaja pembukaan akaun dan merancang menabung RM100 sebulan selepas ini,” katanya.

Menurut Pengurus Besar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Pahang, Sapiza Ajuham, pihanya berbesar hati apabila SSPN-i dipilih untuk diberi sumbangan kepada ibu bapa untuk tujuan simpanan.

“Orang ramai menyimpan dari awal kelahiran untuk tujuan pendidikan, jadi bila anak sudah masuk universiti nanti, tidak perlu membuat pinjaman PTPTN. Kalau nak buat pinjaman pun hanya sikit sahaja.” katanya.

Menurutnya, pembukaan akaun SSPN-i bermula serendah RM20  merupakan instrumen simpanan tabungan kepada anak-anak sejak lahir dan boleh dimohon secara atas talian. – MalaysiaGazette.