Bayi ditinggal di masjid ketika Maghrib

Bayi ditinggal di masjid ketika Maghrib

am@hmetro.com.my

Nilai: Bayi lelaki yang dianggarkan berusia dua minggu ditemui orang awam di atas sofa sebuah surau di Nilai 3, di sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Difahamkan, bayi yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg plastik berwarna merah itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, bayi itu dipercayai ditinggalkan seorang individu yang tidak dikenali ketika waktu Maghrib sebelum beredar.

“Kira-kira jam 8.15 malam tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dihubungi seorang lelaki memaklumkan menjumpai seorang bayi lelaki dalam keadaan berselimut dengan kain di dalam sebuah surau di daerah Nilai.

“Siasatan awal dijalankan mendapati suspek dipercayai seorang individu yang tidak dikenalpasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sambung beliau, suspek dikatakan meletakkan bayi lelaki terbabit di atas sofa surau ketika waktu maghrib dan beredar dari surau dengan menaiki kenderaan jenis tidak pasti.

Jelasnya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Nilai di talian 06790 4389,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top