
Transformasi infrastruktur bekalan air yang dilaksanakan PAIP sejak 2020 berjaya meningkatkan kecekapan sistem agihan air.
TEMERLOH – Gangguan bekalan air dan tekanan rendah yang pernah membelenggu sebahagian penduduk di daerah ini, kini semakin pulih hasil transformasi sistem bekalan air yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sejak 2020.
Antara kawasan yang pernah dikenal pasti sebagai blackspot ialah Kampung Orang Asli Paya Badak, yang sebelum ini sering berdepan gangguan bekalan air dan tekanan rendah, terutama di penghujung sistem retikulasi atau rangkaian paip utama.
Bagi mengatasi masalah yang menjejaskan kira-kira 100 akaun pengguna, PAIP telah membina tangki simpanan air, rumah pam serta memasang paip baharu bagi menyalurkan bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Seberang Temerloh.
Projek itu kini siap dan beroperasi sepenuhnya, sekali gus memberikan bekalan air yang lebih stabil serta meningkatkan keselesaan hidup penduduk setempat.
Bagi penduduk Kampung Orang Asli Paya Badak, transformasi sistem bekalan air bukan sekadar menyelesaikan masalah utiliti, malah mengubah rutin harian yang sebelum ini dipenuhi pelbagai kesukaran.

Seorang penduduk, Shamsudin berkata, keadaan bekalan air di kampung itu kini jauh lebih baik berbanding dahulu apabila masalah gangguan yang berlarutan berjaya diatasi.
“Sebelum ini, setiap kali berlaku gangguan bekalan air, kami terpaksa mencari sumber air alternatif kerana bekalan sering terputus dalam tempoh yang lama.
“Keadaan ketika itu amat memeritkan. Kami perlu mencari sumber air untuk mandi, kemudian mengangkutnya pulang bagi kegunaan minum dan memasak.
“Saya sendiri pernah membuat aduan supaya bekalan air dihantar menggunakan lori tangki. Air itu kami tadah dalam tong di tepi jalan. Alhamdulillah, sekarang masalah itu sudah tiada lagi,” katanya.
Bagi suri rumah, Hasimah Man pula, masalah gangguan bekalan air yang pernah berlarutan hampir dua bulan menjadi antara pengalaman paling sukar dilupakan.

HASIMAH
Menurutnya, sebuah pam air bawah tanah yang dibina kira-kira sedekad lalu banyak membantu penduduk mendapatkan bekalan air ketika bekalan paip terganggu.
“Mujur ada pam itu, jadi kami tidak perlu ke paya atau sungai untuk mendapatkan air.
“Kini semuanya sudah berubah. Bekalan air jauh lebih baik dan hanya terjejas jika berlaku penutupan sementara bagi kerja-kerja pembaikan.
“Apabila membuka pili, air sentiasa ada. Itulah yang paling menggembirakan kami,” katanya.

ABDUL HALIM
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lebak Seberang, Abdul Halim Ishak menyifatkan usaha Kerajaan Negeri Pahang melalui PAIP berjaya mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk.
Katanya, sejak rumah pam baharu siap dan mula beroperasi, gangguan bekalan air di kawasan itu semakin jarang berlaku.
“PAIP juga bertindak pantas terhadap aduan berkaitan paip bocor dan kerosakan lain. “Pada masa sama, saya berharap kerajaan negeri dapat meneruskan usaha menaik taraf sistem agihan air, khususnya dengan menggantikan paip-paip lama yang kerap mengalami kebocoran dan kerosakan,” katanya.
Infrastruktur baharu tamatkan masalah air di Lanchang
Selain Kampung Orang Asli Paya Badak, beberapa kampung di Lanchang termasuk Kampung Sempadan, Taman Industri Perabot, Kampung Kuala Kaung, Taman Murni dan kawasan sekitarnya turut diberikan perhatian.
Cabaran utama di kawasan berkenaan juga melibatkan gangguan bekalan dan tekanan air rendah, terutama bagi kawasan tinggi serta penghujung sistem paip bekalan air membabitkan kira-kira 400 akaun pengguna.
Bagi memastikan keperluan bekalan air dapat dipenuhi dengan lebih baik, penyelesaian yang dilaksanakan bukan sekadar menambah baik paip sedia ada, sebaliknya turut melibatkan pembangunan infrastruktur bekalan air yang lebih menyeluruh.
Projek itu merangkumi pembinaan loji rawatan air jenis konvensional berkapasiti 11 juta liter sehari, dilengkapi tangki imbangan berkapasiti tiga juta liter dan tangki simpanan berkapasiti satu juta liter.
Projek yang menggunakan sumber air daripada LRA Karak Indah, Bentong itu kini siap sepenuhnya sekali gus membolehkan bekalan air disalurkan dengan lebih berkesan ke kawasan yang memerlukan.
Bekalan air stabil ubah kehidupan penduduk

MOHD ZUTAMIZI
Sementara itu, penduduk Kampung Sempadan, Mohd Zutamizi Zurani berkata, sebelum ini penduduk berdepan masalah bekalan air yang serius sehingga ada ketikanya air hanya diterima sehari dalam tempoh seminggu.
Menurutnya, tekanan air yang rendah menyebabkan rumah di kawasan tanah tinggi sering kali tidak menerima bekalan air.
“Sejak projek naik taraf tangki siap dan mula beroperasi, Alhamdulillah bekalan air sentiasa ada,” katanya.
Mantan Pengerusi JPKK Kampung Sempadan, Mohd Nor Kamal Ismail berkata, pernah berlaku keadaan bekalan air tidak sampai ke rumah penduduk selama hampir dua minggu sehingga mereka terpaksa bergantung kepada bantuan lori tangki.

MOHD NOR KAMAL
Bagi Pengerusi JPKK Kampung Sempadan, Abdul Hadi Sohid turut menyifatkan projek naik taraf berkenaan membawa perubahan besar kepada penduduk apabila bekalan air kini jauh lebih stabil selepas disalurkan dari loji baharu.
“Dulu kami menerima bekalan daripada LRA Lubuk Kawah. Kalau berlaku paip pecah, kawasan lain mungkin sudah pulih, tetapi kami terpaksa menunggu sehingga seminggu untuk mendapat bekalan semula.

ABDUL HADI
“Sekarang semuanya sudah berubah. Bekalan air lancar selepas menerimanya daripada loji baharu. “Alhamdulillah, penduduk kini tidak lagi berdepan masalah seperti dahulu,” katanya.
Strategi PAIP akhiri krisis bekalan air
Mengulas perkembangan semasa bekalan air di Temerloh, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, usaha menyelesaikan isu bekalan air di daerah itu merupakan sebahagian daripada transformasi menyeluruh PAIP yang dilaksanakan sejak 2020.
Menurutnya, transformasi tersebut digerakkan selepas kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti kawasan yang berdepan masalah tekanan air rendah serta tidak menerima bekalan air secara konsisten.
Beliau berkata, pelaksanaan projek secara berperingkat berjaya ‘membiru’ kawasan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai blackspot, sekali gus memastikan bekalan air dapat disalurkan dengan lebih stabil kepada pengguna.
“PAIP menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti kawasan bermasalah sebelum setiap isu dihimpunkan dan didokumentasikan untuk menentukan kaedah penyelesaian yang paling berkesan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa komited menggerakkan dan menjayakan usaha transformasi bekalan air di negeri ini,” katanya.
