Bekas CEO 1MDB syak aktiviti langgar undang-undang antara Najib, Jho Low

Bekas CEO 1MDB syak aktiviti langgar undang-undang antara Najib, Jho Low

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, beliau mengesyaki terdapat beberapa aktiviti menyalahi undang-undang dalam syarikat membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung penerbitan bon AS$3 bilion.

Penerbitan bon AS$3 bilion itu membabitkan 1MDB Global Investments Limited (1MDB GIL) kepada Abu Dhabi-Malaysia Investment Company (ADMIC).

Mohd Hazem Abd Rahman, 47, berkata beliau bagaimanapun tidak pernah meminta Najib, yang ketika itu Perdana Menteri supaya menjelaskan perkara berkenaan, tetapi menyatakan kebimbangannya kepada bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan bekas Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias, memandangkan mereka boleh berhubung dengan Najib.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan ketika itu adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes Najib dalam penyalahgunaan dana 1MDB.

Mohd Hazem bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam berkenaan bahawa alasan beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada Najib adalah bukan kerana hanya beliau mempunyai syak wasangka terhadap agenda Jho Low, tetapi beliau juga mengikuti rancangan ahli perniagaan itu.

Katanya, beliau tidak pernah menyatakan rasa sangsinya itu kepada Lembaga Pengarah 1MDB dan tidak pernah membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa berhubung arahan diterima daripada Jho Low yang kini dalam buruan.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top